Realtime website trackingweb stats

Atlet para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli sanggup meninggalkan keluarga demi emas

Oleh NOR SITI HAZLINDA

KUALA LUMPUR: Atlet para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mengambil keputusan meninggalkan keluarga demi menjalani latihan secara kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) dalam misi memburu pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Tahun ini saya berjuang untuk satu pingat emas, tidak mengapa, saya korbankan raya saya bersama keluarga.

“Memang tidak dinafikan perasaan rindu dan sedih itu kerana semua sedia maklum bahawa raya itu satu hari yang menggembirakan tapi tak mengapa, situasi macam ini pun bukan selalu (kuarantin).

“Bagi saya tiada masalah sebab bukan selalu dapat merasai perasaan macam ini, jadi ada benda nak bercerita nanti dengan orang lain,” katanya yang beraksi dalam acara lontar peluru.

Muhammad Ziyad merupakan pemegang dunia para dengan balingan sejauh 17.29m ketika Kejohanan Para Dunia di London pada 2017, mengatasi rekod 16.84m ketika memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016.

Bagaimanapun, rekod kebangsaan kekal milik bekas atlet negara, Adi Alifuddin Hussin yang melakukan lontaran 17.54 m pada Sukan SEA Palembang 2011.

Mari kita sama-sama mendoakan kejayaan buat beliau untuk terus bersemangat dalam mengharumkan nama Malaysia dipersada dunia.