Realtime website trackingweb stats

Zaman hidup ‘keras’ sekarang, trend bagi barangan dapur untuk pengantin

Oleh ADINDA

Zaman hidup ‘keras’ sekarang, trend bagi barangan dapur untuk pengantin. “Gula, Tepung, Beras Semua Ada”, Kawan Pakat Hadiahkan Pengantin Barang Dapur.

Majlis walimatulurus ataupun kenduri kahwin merupakan hari bahagia buat pengantin, selain berkongsi khabar gembira tentang perkahwinan.

Di hari bahagia ini, pelbagai persiapan dibuat dengan rapi bagi memastikan kehadiran tetamu dapat dirai dengan baik, sekaligus majlis berjalan tanpa cacat-cela.

Malah, ketika kenduri kahwin juga, kita dapat melihat pelbagai ragam dan adat kebudayaan setempat yang masih diteruskan sesetengah pihak.

Kawan pakat hadiahkan pengantin barang dapur, semua ada

Antara adat yang masih bertahan adalah seperti bersanding, makan beradab dan pemberian hadiah daripada tetamu. Biasanya, hadiah akan diberikan kepada pihak tuan rumah, sebaik sahaja tiba di majlis kenduri kahwin.

Namun, jika yang hadir adalah rakan rapat, sudah tentu mahu menyampaikan sendiri hadiah kepada pengantin, kan? Antara hadiah-hadiah yang biasa diterima pengantin ketika ini adalah seperti barang elektrik dan set penjagaan diri.

Selain itu, pengantin juga akan menerima hadiah-hadiah seperti set pinggan mangkuk, set cadar dan banyak lagi.

Tujuan pemberian hadiah ini adalah untuk memberikan kelapangan kepada pengantin untuk memulakan hidup baharu sebagai suami isteri.

Namun, ada juga tetamu yang memberikan hadiah luar biasa kepada pengantin, merangkap rakan karib mereka.

Kemeriahan ini dapat dilihat menerusi video TikTok milik Syafiq (@ssyafiqqqqqqq) ketika dia dan rakan-rakan mengunjungi majlis perkahwinan sahabat mereka.

Dalam video yang berdurasi seminit 30 saat itu, Syafiq dan rakan-rakannya dilihat sedang memberikan hadiah perkahwinan yang cukup unik buat pengantin. Rakan-rakannya, merangkap tetamu telah memilih barangan dapur untuk dijadikan sebagai hadiah perkahwinan.

Antara barangan yang diberikan seperti bahan masakan iaitu sos cili, kicap, dua bungkus mi segera, sebungkus tepung, dua bungkus beras dan lain-lain.

Mereka juga memberikan bahan-bahan untuk membuat minuman seperti sebungkus kopi pracampuran, sebungkus teh uncang dan sebotol kordial minuman.

Selain itu, mereka turut memberikan beberapa barangan lain seperti sabun serbuk pencuci pakaian, cecair detergen pakaian dan sebagainya.

Walaupun hadiah ini dilihat agak ringkas, namun ia sangat bermakna dan praktikal buat pasangan pengantin yang baru sahaja mendirikan rumah tangga.