Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menegaskan bahawa kes buli yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK)
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang menyebabkan seorang pelajar mengalami kecederaan serius
Pada tulang rusuk dan tulang belakang, perlu diambil dengan serius.
Baginda bertitah, budaya buli tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia bukan sahaja memberi kesan buruk
Terhadap kesejahteraan pelajar, tetapi juga mencemarkan imej institusi pengajian tinggi di negara ini.
Titah baginda, kes buli di ALK UPNM bukan kali pertama dilaporkan. Sebelum ini, beberapa kejadian yang lebih tragis telah berlaku, hingga meragut nyawa.
“Di dalam pasukan tentera, latihan yang berat adalah perkara biasa untuk membentuk ketahanan mental dan fizikal, seperti yang saya alami sendiri semasa menjalani latihan ketenteraan,” titah baginda.
“Namun, ini tidak bermaksud latihan boleh bertukar menjadi buli atau penyeksaan yang menyebabkan kecederaan fizikal atau kehilangan nyawa. Tindakan sebegini adalah tidak berperikemanusiaan.”
Baginda turut menekankan agar Kementerian Pertahanan mengambil langkah serius dalam menangani masalah ini, memandangkan kejadian buli sudah berlaku beberapa kali di ALK UPNM.
Sultan Ibrahim menyampaikan titah tersebut menerusi laman Facebook rasmi baginda hari ini, selepas menerima menghadap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Istana Negara.
BACA: Dahulu tumpuan pelancong, Rantau Panjang kini sepi, ini sebenarnya yang jadi