Realtime website trackingweb stats

Walaupun bapa tinggalkan harta pusaka yang banyak, waris Ananda Krishnan pula tinggalkan harta dunia

Oleh HADI KAMARUDIN

Pemergian hartawan dan tokoh perniagaan terkenal Malaysia, Tan Sri Tatparanandam Ananda Krishnan,

pada usia 86 tahun pada Khamis, 28 November, meninggalkan kesan mendalam kepada komuniti usahawan.

Berita sedih itu disahkan oleh Usaha Tegas Sdn Bhd, di mana mendiang memegang jawatan sebagai pengerusi syarikat pemegang pelaburan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menzahirkan penghormatan kepada mendiang melalui kenyataannya di Facebook:

“Sumbangan mendiang dalam dunia korporat, filantropi, dan masyarakat akan terus dikenang.”

Walaupun bapa tinggalkan harta pusaka yang banyak, waris Ananda Krishnan pula tinggalkan harta dunia

Ananda Krishnan dikenali sebagai tokoh perniagaan yang menetapkan penanda aras baharu dalam pelbagai industri. Berikut adalah 10 fakta menarik tentang mendiang:

1) Individu Terkaya di Malaysia
Ananda disenaraikan sebagai individu keenam terkaya di Malaysia dan ke-667 dunia oleh Forbes, dengan nilai kekayaan bersih sebanyak AS$4.8 bilion (RM21.3 bilion).

2) Pendidikan di Luar Negara
Anak kelahiran Brickfields, Kuala Lumpur ini memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Politik dari Universiti Melbourne, Australia, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

3) Pembangunan KLCC
Mendiang memainkan peranan besar dalam pembangunan mercu kebanggaan negara, Menara Berkembar Petronas dan hartanah di sekitar Suria KLCC.

4) Perintis Telekomunikasi
Sebagai pengasas Maxis Communications dan MEASAT Broadcast Network Systems (Astro), mendiang berjaya melancarkan satelit komunikasi pertama Malaysia, sekaligus merevolusikan industri teknologi angkasa negara.

5) Jiwa Filantropi
Melalui Usaha Tegas Sdn Bhd, Ananda sering menyumbang kepada kebajikan dalam bidang hiburan, seni, sukan, dan kemanusiaan.
Beliau turut menubuhkan badan amal seperti Harapan Nusantara dan Yu Cai, yang banyak memberikan biasiswa pendidikan kepada pelajar tempatan.

6) Tidak Suka Populariti
Walaupun bergelar jutawan, Ananda digambarkan sebagai individu yang suka menyendiri dan jarang muncul di khalayak atau media, menyebabkan ramai tidak mengenali figura hebat ini.

7) Anak Tidak Mewarisi Harta
Mendiang berkahwin dengan seorang wanita dari keluarga diraja Thailand dan dikurniakan tiga cahaya mata. Namun, anak lelaki tunggalnya, Ven Ajahn Siripanyo, memilih kehidupan sebagai sami Buddha dan tidak akan mewarisi harta mendiang.

8) Hubungan Rapat dengan Tun Dr Mahathir
Pada era 1970-an, Ananda dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memberinya kepercayaan untuk memegang jawatan penting di Petronas sebelum menubuhkan Usaha Tegas Sdn Bhd pada tahun 1984.

9) Kepelbagaian Perniagaan
Usaha Tegas Sdn Bhd kini memiliki pegangan saham dalam pelbagai industri seperti:
– TGV Cinemas (pawagam)
– Bumi Armada Berhad (minyak dan gas)
– Maxis Berhad (telekomunikasi)
– Astro Malaysia Holdings Berhad (media)

10) Sumbangan kepada Konsert Rock Amal
Pada tahun 1985, Ananda menyumbang AS$750,000 (RM3.3 juta) kepada konsert amal Live Aid di London dan Philadelphia, yang dianjurkan bagi membantu Ethiopia ketika krisis kebuluran.

Mengenang sumbangannya, Ananda pernah berkata:
“Saya bukan hanya mahu menyumbang kepada kebajikan, tetapi juga melabur kepada mereka yang boleh menggandakan sumbangan tersebut.”

Pemergian Ananda Krishnan merupakan kehilangan besar kepada negara dan dunia korporat, namun legasi yang ditinggalkannya akan terus dikenang.

BACA:  Ini 10 senarai orang terkaya di dunia, nombor 6 tu pernah buat ekonomi Malaysia gawat!