Wajah berpaling dari kiblat dengan sendirinya, ini akibat persenda Allah dan hina Nabi.
Hakikat Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul terakhir diutuskan kepada manusia membawa rahmat serta hidayah menyebabkan kita wajib mensyukuri nikmat perutusan Baginda sebagai kurniaan agung.
Justeru, umat Islam pasti terkejut dengan tindakan segelintir manusia melemparkan kata-kata penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.
Bagaimanapun, ia bukanlah baharu, sebaliknya berlaku sejak dahulu lagi tetapi semua penghinaan berkenaan lenyap, sedangkan sebutan, ingatan serta kasih sayang umat kepada Nabi mulia ini kekal mekar dan segar sepanjang zaman.
Firman Allah SWT: (Bukankah) Dan Kami meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan pelbagai kemuliaan)?” (Al-Syarh: 4)
Allah SWT mengangkat kedudukan Nabi-Nya paling mulia dengan mengarahkan orang beriman mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan dikurniakan kepada Baginda. Anjuran ini datang selepas Allah SWT dan malaikat juga melakukan perkara sama: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan sepenuhnya.” (Al-Ahzab: 56)
Dalam ayat seterusnya, Allah SWT mengancam sesiapa melakukan kejahatan dan maksiat termasuk penghinaan terhadap Allah dan rasul-Nya: “Sesungguhnya orang melakukan perkara tidak diredai Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan akhirat serta menyediakan untuk mereka azab seksa menghinakan.” (Al-Ahzab: 57)
Imam al-Tabari dalam kitab tafsirnya, menghuraikan ayat itu diturunkan kepada mereka mengutuk tindakan Nabi Muhammad SAW yang memperisterikan Safiyyah Huyaiy, iaitu wanita bangsawan Yahudi.
Sekiranya tindakan itu sahaja sudah cukup untuk mendapat azab dan laknat daripada Allah SWT dunia serta akhirat, bagaimana pula tindakan keji menghina insan dan makhluk paling mulia di sisi Allah SWT itu?
Cukuplah bagi orang beriman dan waras untuk memberikan kehormatan serta adab tinggi kepada Rasulullah SAW dengan firman Allah SWT memuji ketinggian akhlak dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak amat mulia.” (Al-Qalam: 4)
Jasad berpaling dari arah kiblat
Al-Qadi Iyadh al-Maliki menceritakan kisah dalam kitabnya al-Syifa bi Takrif Huquq al-Mustafa mengenai seorang penyair dihukum bunuh oleh hakim kerana menghina dan mempersendakan Allah SWT, Nabi dan Nabi Muhammad SAW. Ketika jenazahnya diangkat selepas hukuman bunuh dilaksanakan, jasadnya berpaling dari arah kiblat dengan sendirinya lalu disahut laungan takbir orang menyaksikan hal itu sebagai tanda nyata mengenai kekuasaan dan laknat Allah SWT terhadap mereka menghina Baginda.
Ulama berijmak bahawa orang Islam merendahkan dan menghina Nabi SAW wajib dijatuhkan hukum bunuh seperti dinukilkan al-Qadi Iyadh. Ia juga disokong Abu Bakr Ibnu al-Munzir dengan menyandarkan kalam itu kepada Malik Ibnu Anas, Laith Ibnu Sa’ad dan Imam Ahmad Ibnu Hanbal.
Selanjutnya, ulama juga bersepakat mereka mendoakan Nabi dengan perkara buruk dan apa-apa yang tidak baik, dia harus dijatuhi hukum bunuh oleh mahkamah tanpa diminta untuk bertaubat. Perkara ini membuktikan penghinaan terhadap Nabi bukanlah perkara kecil, sebaliknya dipandang amat serius oleh ulama.
Bagaimanapun, hukuman itu tidak boleh dilaksanakan tanpa peruntukan undang-undang supaya ia tidak mendatangkan fitnah dan mencetuskan huru-hara dalam masyarakat.
Tak masuk akal hina insan paling berjasa
Pada masa sama, adalah tidak masuk akal apabila seseorang menghina manusia lain yang meninggal dunia tanpa ada kesalahan dilakukannya. Nabi Muhammad SAW begitu banyak berjasa bukan sahaja kepada umat Islam bahkan kepada dunia seluruhnya.
Menurut pengarang buku The 100 A Ranking of The Most Influential Persons in History, Michael H Hart, nama Nabi Muhammad SAW dinobatkan sebagai manusia paling berpengaruh sepanjang sejarah kemanusiaan. Berdakwah selama hampir 23 tahun namun kesan ajarannya kekal dan diamalkan hingga hari ini.
Pengiktirafan ini cukup memberi mesej jelas bahawa Nabi Muhammad SAW adalah insan mulia dan pembawa rahmat, Justeru, tidak boleh diterima akal insan semulia ini dihina dan dicerca melainkan ia datang daripada manusia hilang kewarasan atau pertimbangan akal.
Bagaimanapun, harus kita akui kegagalan umat Islam mengenal keperibadian Nabi Muhammad SAW adalah faktor membuatkan sebahagiannya tidak menghargai dan memberikan penghormatan selayaknya kepada Nabi akhir zaman ini.
Kewujudan banyak karya dalam perpustakaan umat Islam mengenai keperibadian, kelebihan dan keistimewaan Nabi Muhammad SAW adalah tanda kesungguhan ulama Islam menerapkan kasih sayang serta hormat kepada Baginda.
Justeru, ibu bapa, pendidik, entiti pendidikan dan kerajaan perlu berperanan dalam menyemai rasa kasih sayang, kesyukuran, kehormatan serta adab kepada Nabi SAW menerusi pelbagai media sosial dan perdana yang wujud kerana ia selari dengan anjuran Allah SWT kepada kita.
Pada masa sama, perbuatan tidak bertamadun terhadap kemuliaan Nabi SAW yang kita lihat dan dengar pada hari ini pasti akan dibalas Allah SWT: “Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu daripada kejahatan orang mengejek-ejek dan mempersendakanmu.” (Al-Hijr: 95)
Penulis adalah Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
Baca:
Rupanya wujud kumpulan manusia dilahirkan dengan kaki burung unta, paling cekap memburu
Dulu ingat 2 marhalah 90 kilometer baru boleh solat jamak, rupanya ini jarak sebenar, dekat je
Kedai runcit paling unik, nak beli barang kena panjat 120 meter pakai tali
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio