Viral ! sanggup angkat buah kelapa sawit demi bantu keluarga

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Siapa sangka gadis kecil ini berusia 20 tahun yang mempunyai berat badan 40 kilogram mampu membuat kerja di kebun kelapa sawit yang kebiasaan dilakukan oleh orang lelaki.

Nor Syazwani Nor Azman yang juga cucu peneroka Felda Pasoh Empat di sini, membuktikan saiz badan bukan halangan baginya mengangkat dan memunggah buah kelapa sawit.

Harian Metro berkesempatan menemuinya yang ketika itu sedang membantu bapa saudaranya mengambil upah menuai kelapa sawit di kebun milik penduduk tanah rancangan Felda berkenaan.

“Saya membantu menyusun pelepah kelapa sawit dan membawa buah ke platform berhampiran jalan, jika ia dekat saya menggunakan besi pengangkat buah kelapa sawit dan sekiranya jauh menggunakan kereta tolak.

“Saya mula melakukan pekerjaan ini ketika berumur 15 tahun selepas keadaan ketika itu tidak mengizinkan untuk saya menyambung belajar,” katanya.

Nor Syazwani berkata, berikutan tidak mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran, dia tekad melakukan kerja di kebun yang kebiasaan dilakukan oleh orang lelaki.

Sumber Gambar: Abnor Hamizam Abd Manap
Nor Syazwani membuktikan saiz badan bukan halangan baginya mengangkat
dan memunggah buah kelapa sawit.

Katanya, dia memperoleh upah sekitar RM400 sebulan dan menggunakan duit itu bagi keperluan sendiri.

Menurutnya, tiada makanan istimewa seperti vitamin tambahan diambil sebaliknya makan apa yang dimasak oleh ibunya.

Nor Syazwani berkata, biarpun bertubuh badan kecil, kebiasaan dia boleh mengangkat setandan buah kelapa sawit yang dianggarkan seberat 25 kilogram.

“Selain membuat kerja pemunggahan buah kelapa sawit, saya juga sedang belajar menuai daripada bapa saudara dan mahu menjadi sebahagian kemahiran jika bekerja di ladang.”

“Sakit-sakit badan selepas bekerja di ladang adalah normal dan kebiasaan saya meminta ibu mengurut badan supaya segar semula,” katanya.

Jika tidak ke kebun dia akan mengikut bapanya, Khairul Mohd Senawi, 43, yang terbabit dalam kerja pembinaan seperti membina dan membaiki rumah di sekitar kawasan berhampiran.

“Saya pernah memanjat bumbung rumah bagi memasang dan membaiki atap rumah. Saya sudah biasa melakukan kerja sedemikian selain tidak pernah berasa gayat,” katanya.

Gadis serba boleh itu juga turut mahir menebar roti canai dan pernah membantu ibunya meniaga berniaga makanan di gerai berhampiran rumahnya.

Sebelum itu tular di media sosial video Nor Syazwani mengangkat buah kelapa sawit di media sosial sehingga menerima pujian netizen.

Nor Syazwani berkata, video berkenaan dirakam pada Ogos tahun lalu sebelum ditularkan beberapa hari lalu oleh individu lain.

Sementara itu, ibunya, Mastura Masran, 39, berkata, anak kedua dari sembilan beradik itu memang gemar melakukan kerja lasak.

Katanya, dia tidak hairan anaknya boleh melakukan kerja yang sering dibuat orang lelaki kerana dia juga pernah membantu orang tuanya di kebun .

“Kebiasaan anak gadis yang tinggal di tanah rancangan Felda akan membantu ibu bapa bekerja di ladang,” katanya.

Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
[email protected]