Umno guna sihir politik kaburi mata rakyat

Oleh ADINDA

Faiz Fadzil

SIHIR POLITIK UMNO

Keputusan MKT Umno pada 7 Julai lalu yang hanya mahu menukar PM dan bukannya menjatuhkan kerajaan PN menunjukkan Umno adalah pengkhianat mandat rakyat dalam Pru-14 lalu. Kita tidak boleh hanya melihat pengkhianatan mandat yang dilalukan melalui langkah sheraton hanya melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Azmin Ali sahaja. Ini adalah kerana langkah sheraton tidak akan berlaku tanpa sokongan Umno dan Pas.

Jadi, apabila Umno bertindak menolak Muhyiddin dan merancang untuk menaikkan PM baru dari kalangan Ahli Parlimen Umno, ia menjelaskan sikap Umno yang gila kuasa dan menggunakan tektik pintu belakang untuk berkuasa. Sikap Umno ini bukan kali pertama dilakukan kerana parti inilah yang menjatuhkan kerajaan PR Perak tahun 2009 dulu. Susulan langkah sheraton, Umno menunjukkan taringnya dengan berkuasa di Johor, Melaka dan Perak.

Justeru, rakyat perlu mengenali sikap dan identiti Umno yang sebenar ini. Umno bukan parti yang menghormati demokrasi dan hanya memikirkan kuasa sebagai agenda politik mereka. Segala kritikan mereka terhadap kegagalan kerajaan PN sekarang hanyalah sihir politik untuk mengaburi mata rakyat sedangkan mereka sebahagian daripada kerajaan PN. Inilah ‘black magic’ yang digunakan Umno sekarang, sedangkan menteri utama menguruskan pandemik Covid-19 ini adalah menteri Umno termasuk menteri keselamatan, imunisasi dan kesihatan. Proklamasi darurat juga awalnya disokong Umno.

Menukar PM kepada Umno akan meneruskan kegagalan kerajaan hari ini kerana pemain politik yang sama akan mengemudi Putrajaya. Oleh itu, rakyat yang menolak pengkhianatan ini, maka bukan sahaja PN yang harus ditolak, tetapi juga Umno dan Pas. Umno masih belum berubah terutama soal amalan rasuah yang masih menjadi mantera mereka. Integriti adalah elemen utama pentadbiran yang cekap. Malahan, keyakinan pelabur asing juga terhakis apabila pentadbiran kerajaan terpalit dengan isu rasuah dan salahguna kuasa.

Sikap Umno yang gila kuasa ini tidak boleh dibenarkan berlaku dan rakyat perlu menghantar mesej jelas bahawa pengkhianatan sebegini tidak boleh berulang dalam negara kita. Demokrasi negara hancur akibat langkah sheraton yang mengakibatkan rakyat menderita hari ini. Ekonomi lumpuh dan hidup rakyat semakin terancam dengan belitan kelaparan dan hutang, malahan kes bunuh diri semakin menjadi-jadi.

Veteran UMNO, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, berkata beliau bimbang sekiranya pemimpin berkenaan masih berdegil dan tidak sedar diri, beban ‘kluster mahkamah’ yang dipikul akan menyebabkan nama baik parti turut merudum sama bersama mereka.

Sebaiknya, kerajaan gagal PN ini yang tidak mempunyai mandat rakyat ini ditukar dan PH yang mempunyai mandat dan lebih kompeten dikembalikan mentadbir negara. Mana-mana Ahli Parlimen yang bersungguh mahu menyelamatkan negara harus bersama menyokong PH.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir ini juga, misi SELAMATKAN MALAYSIA harus dipalu semula demi rakyat dan negara. PH+ harus kembali ke meja rundingan.