Ulama Kedah, Tok Guru Pak Teh Mad meninggal dunia

Oleh ADINDA

Tokoh ulama Kedah, Tok Guru Pak Teh Mad atau nama sebenarnya Datuk Haji Ahmad Muhammad Nor dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang pada jam 12.57 pagi tadi.

Cucu beliau, Mariam Abdul Ghani mengesahkan hal itu melalui satu hantaran di Facebook sebentar tadi.

“Tok Ayah saya, Tuan Guru Haji Ahmad (Pak Teh Mad) menghembuskan Nafas terakhir 15/09/21 bersamaan 08 Safar 1443H di Hospital Kuala Nerang di sisi Dr. Bukhari yang merawat serta mengajar kalimah shahadah,” katanya.

Pak Teh Mad, 96, yang dilahirkan di Kampung Tanjung, Padang Terap Kanan merupakan pengasas Madrasah Ahmadiah yang ditubuhkan pada 1961.

Pada 10 September lalu, beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Nerang setelah beberapa hari kesihatannya merosot dan mengalami kekurangan oksigen.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Padang Terap sehingga darjah empat.

Beliau seterusnya ke sekolah menengah di Madrasah Sa’adah Ad-Daroin, Merbok, Bedong, Kedah sehingga tahun 1937.

Allahyarham menyambung pengajian selama tiga tahun di Pondok Gajah Mati, Pendang sebelum ke Mekah dengan memasuki Madrasah al-Salutiyah.

Antara gurunya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok (Pondok Merbok), Tok Mogoi (Pondok Mogoi), Tuan Guru Pak Chu Him iaitu ayah mertuanya (Pondok Gajah Mati) dan Pak Da Eil Mekah.

Turut menjadi gurunya Syeikh Abdul Qadir Abdul Muthalib Al Mandili, Sheikh Daud Kelantan, Syeikh Afnan Al Jawi, Syeikh Sulaiman Al Jawi, Syeikh Zakaria Bila, Syeikh Hassan Masyath dan Sayyid Alawi al-Maliki.

Selepas 10 tahun Pak Teh Mad menimba ilmu di Mekah, beliau pulang ke tanah air dan membuka sebuah pondok di Padang Terap.

Pada tahun 1986, pendaftaran sekolah tersebut diluluskan dengan nama Madrasah Al Ahmadiah Al-Solehiah Al-Islamiah.

Telah selesai urusan persemadian jenazah Allahyarham Tuan Guru Pak Teh Mad tengah hari tadi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kg Padang Gelanggang. Walau bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Padang Terap menasihatkan orang ramai dan masyarakat supaya bersabar dan tidak menghadiri kawasan perkuburan Allahyarham Tuan Guru kerana mengambil kira keadaan cuaca dan wabak Covid-19 yang sedang melanda di kawasan sekitarnya.

Ziarah DSP Mulkiaman Manzar, Ketua Polis Daerah Padang Terap ke atas Allahyarham Tok Guru Pak Teh Mad tahun lepas.