Selepas dua bulan ugut anak lelakinya supaya mengerjakan solat dengan mengacukan pisau, seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tawau, 16 Oktober.
Ardi Aris, 32, yang bekerja di sebuah premis mencuci kereta melakukan ugutan jenayah dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap anak lelakinya berusia 13 tahun.
Dia mengacukan sebilah pisau di rumah keluarga mereka di Batu 8 Jalan Tiku, Tawau, pada 9 pagi, 4 Ogos lalu, mengikut pertuduhan.
Susulan itu, Ardi didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika tertuduh ke rumah bekas iparnya sebelum meluru ke dapur.
Tertuduh kemudiannya mengambil sebilah pisau dan mengacu senjata tajam itu ke arah mangsa serta mengarahkannya supaya menunaikan solat.
Remaja yang dalam ketakutan itu hanya akur menuruti arahan bapanya, sebelum ibu saudaranya menghubungi polis.
Rupanya, Ardi sudah pun bercerai dengan isterinya. Dia sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu kerana disyaki mengalami masalah mental.
Dalam rayuannya, Ardi memohon kepada mahkamah supaya hukuman diringankan dengan alasan sudah insaf selain menyesal atas perbuatannya itu.
Namun, nasi sudah menjadi bubur. Ikutkan amarah, badan parah. Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 4 Ogos lalu.
Baca:
“Kau pun sama macam Israel”- Naim Daniel tempelak artis jual produk harga ‘Yahudi’