Dah lebih sebulan kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekarang ni dah masuk Fasa ke-4 PKP dan masih banyak lagi perniagaan yang diarahkan tutup. Walaupun ada sedikit kelonggaran diberikan, bila lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi, tapi sebahagian besar syarikat di Malaysia ni masih lagi belum dibenarkan beroperasi.
Diberhentikan kerja ni memang benda yang menakutkan, lebih-lebih lagi susah nak dapatkan kerja baru masa PKP (atau lepas PKP) ni. Tapi nampaknya, korang boleh bertenang sikit bila tahu benda ni: kalau korang bekerja di sektor swasta, korang kemungkinan besar ada mendaftar dalam Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) atau Employment Insurance System (EIS). Insurans ni bukan je akan bantu korang bertahan sampai dapat kerja baru, tapi juga akan bantu korang cari kerja. Dengar macam menarik kan?
SIP lindungi perkerja yang diberhentikan kerja
SIP ni adalah skim atau sistem di bawah PERKESO yang dirangka untuk membantu pekerja-pekerja yang hilang pekerjaan. Di bawah skim ni, kalau korang hilang kerja, SIP akan sediakan faedah kewangan kepada korang berdasarkan gaji korang sebelum ni. Perkara ini disediakan di bawah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), di mana korang akan diberikan peratusan tertentu dari pendapatan sebelumnya, sampailah korang dapat kerja baru. Bukan tu je, skim ni juga akan bantu korang cari kerja baru, yang semestinya agak mencabar.
Eh, skim ni korang dah daftar ke belum? Jangan risau, sebabnya kalau korang kerja di sektor swasta – korang selalunya memang dah mendaftar dengan skim ni. Kalau korang rasa tak pasti, korang boleh periksa slip gaji pada bahagian potongan bulanan tu. Bersama-sama dengan caruman KWSP dan PERKESO, ada satu lagi caruman iaitu ‘SIP Pekerja atau Employee EIS’. Inilah caruman korang kepada dana SIP.
Caruman ni penting, sebab dana SIP ni berfungsi dengan potong peratusan gaji bulanan korang. Kalau korang rasa potongan gaji korang tu macam tak patut, baik korang fikirkan semula. Sebabnya, jumlah potongan untuk SIP ni sikit je iaitu sebanyak 0.2% dari gaji korang. Majikan juga kena bagi 0.2%, dari jumlah gaji korang. Maknanya, jumlah keseluruhan sebulan SIP ni cuma 0.4% dari gaji bulanan korang.
Semua pekerja yang bekerja di sektor swasta berumur dari 18 ke 60 tahun dikehendaki menyumbang kepada dana insurans ni. Kadar carumannya pula dihadkan kepada RM4,000. Maksudnya, walaupun korang dapat gaji lebih RM4,000, korang cuma dikenakan caj 0.2% dari RM4,000 atau RM8.
Untuk maklumat, SIP ni tak melindungi pekerja berumur 57 tahun ke atas yang tak pernah menyumbang kepada dana tu sebelum ni. Pekerja domestik, penjawat awam dan pekerja sendiri pun tak dilindungi di bawah SIP ni.
Tapi, tu tak bermakna yang korang akan terus layak dapat faedah ni bila diberhentikan kerja. Sebabnya, korang kena…
Periksa terlebih dulu, sama ada korang layak dapat SIP
Sebelum kita pergi kepada jumlah faedah kewangan yang korang boleh dapat, lebih baik kita tengok dulu syarat yang diperlukan untuk korang terima faedah insurans ni. Seperti yang dah dikatakan tadi, pertamanya – korang mestilah pekerja sektor swasta dan buat caruman ke dalam SIP. Tapi bukan tu je, sebab punca korang hilang kerja tu pun sama penting bagi menentukan sama ada korang layak terima atau tak.
Di bawah SIP, korang hanya boleh terima faedah ni, kalau korang hilang kerja disebabkan hal-hal berikut:
- Pembuangan kerja dan pertindihan
- Terima Skim Pemisahan Sukarela atau Bersama syarikat (VSS atau MSS)
- Penutupan tempat kerja kerana bencana alam
- Bankrap atau penutupan tempat kerja
- Pembuangan kerja konstruktif (syarikat korang langgar kontrak korang, sampai korang berhenti kerja)
- Peletakan jawatan disebabkan gangguan seksual atau ugutan di tempat kerja
- Peletakan jawatan apabila korang diarah melaksanakan kerja di luar skop yang membahayakan keselamatan
Kalau korang hilang pekerjaan disebabkan perkara sebegini, korang layak terima faedah pengangguran.
Tapi, ada situasi tertentu yang boleh membuatkan korang tak layak terima faedah SIP. Antaranya seperti:
- Dibuang kerja kerana salah laku
- Peletakan jawatan secara sukarela
- Bersara
- Tempoh kontrak perkhidmatan korang dah tamat
Nampaklah di sini yang kalau korang layak, tak sia-sialah korang bayar 0.2% dari gaji tiap-tiap bulan tu. Tapi, kalau carumannya pun dah sikit, faedahnya nanti tu sikit juga ke? Sebenarnya, taklah macam tu sebab…
Korang boleh dapat faedah pengangguran sehingga 80% daripada gaji korang
Kalau korang hilang kerja dan memenuhi syarat yang diperuntukkan, korang layak terima faedah pengangguran di bawah SIP Elaun Mencari Pekerjaan (EMP). Namun, masih ada had untuk jumlah yang korang akan terima tu.
Jumlah yang diberikan tu akan dihadkan pada gaji yang diandaikan sebanyak RM4,000. Jadinya, walaupun korang dapat gaji lebih daripada RM4,000, korang cuma boleh terima faedah dengan jumlah maksimum yang dibenarkan, iaitu RM4,000.
Korang akan diberi elaun minimum selama 3 bulan dan maksimum selama 6 bulan. Jumlah yang diberikan tu adalah:
- Bulan pertama: 80% daripada gaji anggapan bulanan korang
- Bulan ke-2: 50% daripada gaji anggapan bulanan korang
- Bulan ke-3 & ke-4: 40% daripada gaji anggapan bulanan korang
- Bulan ke-5 & ke-6: 30% daripada gaji anggapan bulanan korang
Jumlah ni akan dikira berdasarkan anggapan gaji bulanan korang, di mana berdasarkan gaji korang sebelum ni. Nampak macam mengelirukan juga – tapi takpe, ni contohnya.
Katakanlah korang dapat gaji RM3,569 sebulan sebelum hilang kerja. Berdasarkan carta dari PERKESO, gaji bulanan anggapan korang adalah sebanyak RM3,550. Jadi, berdasarkan gaji itulah, jumlah faedah yang korang akan dapat setiap bulan:
- Bulan pertama: RM2,840 (80%)
- Bulan ke-2: RM1,775 (50%)
- bukan ke-3 & ke-4: RM1,420 (40%)
- Bulan ke-5 & ke-6: RM1,065 (30%)
Tapi ada juga syarat tambahan untuk terus terima faedah ni. Sebaik saja korang dapat elaun bulan pertama, korang kena buktikan yang korang dah aktif mencari kerja baru, untuk dapatkan faedah untuk 2 ke 5 bulan berikutnya.
Seterusnya, kita pergi ke bahagian paling penting iaitu macam mana nak mendaftar dan dapatkan faedah ni.
Korang boleh mendaftar secara dalam talian
Imej dari PERKESO.
Kalaulah korang diberhentikan kerja, korang bolehlah pergi ke laman sesawang PERKESO untuk mohon Elaun Mencari Pekerjaan (EMP). Tapi korang kena pastikan yang permohonan tu dibuat dalam tempoh 60 hari setelah hilang pekerjaan.
Macam biasa, akan ada beberapa dokumen yang kena dibawa masa mendaftar. Maka, korang persiapkanlah:
- Salinan kad pengenalan
- Bukti kehilangan pekerjaan, contohnya surat penamatan kerja
- Salinan maklumat akaun bank
- Slip gaji untuk 6 bulan
Lepas buat pendaftaran, korang akan diberitahu melalui e-mel sama ada permohonan korang tu diterima atau tak. Sebelum ni, kalau permohonan ditolak, korang boleh buat rayuan kepada Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS). Tapi disebabkan PKP, mungkin agak sukar untuk buat perkara tu. Makanya, kalau korang nak buat rayuan, korang boleh hubungi hotline PERKESO di 1-300-22-8000 atau e-mel kepada [email protected].
Sumber asal : asklegal