Realtime website trackingweb stats

Timbul desakan tukar pimpinan pembangkang

Oleh ADINDA

Petang tadi Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 2.30 petang.

Ismail Sabri kemudian menandatangani dokumen-dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Yang turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membaca Surat Cara Pelantikan sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Istana Negara hari ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9.

Dalam satu kenyataan media malam tadi, beliau yang mewakili pihak pembangkang keseluruhannya mengambil maklum keputusan oleh Seri Paduka Baginda itu.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan peletakan jawatan Muhyiddin selepas Ahli Parlimen Pagoh itu hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Pada 18 Ogos lalu, Istana Negara menerima pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli Parlimen, masing-masing menerusi surat akuan (SD).

Mengikut SD berkenaan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri, sekali gus memperoleh jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Dalam pada masa yang sama, wujud segelintir dikalangan ahli dan penyokong parti komponen Pakatan Harapan (PH) mula mendesak pakatan pembangkang itu menukar pimpinan selepas dikatakan pemimpin sedia ada iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan gagal dipilih menjadi Perdana Menteri sekaligus dilihat gagal mengembalikan mandat rakyat selepas pengkhianatan Langkah Sheraton serta peletakan jawatan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin.

Menurut seorang penyokong Pakatan Harapan pemilik akaun Facebook Mohd Mukhlis Mohd Sharif di laman sosialnya itu, “Tiba-tiba pula dengar suara sumbang yang kata PH kena tukar kepimpinan sebab Anwar gagal ambil alih kepimpinan Malaysia, yang pelik bunyi itu datang dari penyokong DAP, geng Oren Masam dan orang luar PH.”

Menurut Mukhlis juga, berkenaan menukar pimpinan PH, beliau bersetuju kalau ada data yang lengkap mengatakan PH perlu ada nafas baru untuk kembali menjadi kerajaan. “Bagi saya data dari 3rd party survey dan PH kena promosikan leader tersebut dari sekarang. PRU15 pun tak lama lagi. Tapi kalau tak ada muka baru yang berani ambil risiko, why fix something that is not even broken?” Beliau turut menyatakan yang melakukan pengkhianatan bukanlah Anwar Ibrahim dan beliau hanya cuba perbaiki benda yang ditinggalkan oleh pengkhianat yang mana ia bukanlah tugas yang mudah.

Sementara itu, seorang pemimpin sayap pemuda parti pembangkang, Mohd Faruk Abdul Rahman dalam satu kenyataan yang dituju kepada Pengerusi Majlis Pakatan Harapan Malaysia dan Presiden Parti Amanah Negara memohon majlis Pakatan Harapan serta Ahli Dewan Rakyat Blok Pembangkang bermesyuarat bagi memutuskan Ketua Pakatan Harapan dan Ketua Pembangkang yang baru.

Menurut Faruk yang juga Ketua Pemuda Amanah Tanjong, Pulau Pinang, beliau berkeyakinan permainan politik UMNO akan lebih licik dan jahat selepas ini di mana agenda penyelesaian masalah negara bukanlah agenda sebenar yang mahu diperjuangkan oleh mereka.

“Pengerusi Pakatan Harapan sekaligus ketua pembangkang yang baru perlu dipilih berdasarkan pengalaman serta ketokohan yang dihormati dan digeruni oleh kawan dan lawan serta mampu mengalas tugas-tugas yang diamanahkan”, kata Faruk.

Tambah Faruk lagi, sehingga kesaat ini calon yang layak memimpin ialah Tun Dr. Mahathir Mohamed selaku bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 & 7, merangkap Bekas Pengerusi Pakatan Harapan dan Bekas Ketua Pembangkang Malaysia. Tugas ini amat sesuai untuk beliau bagi berhadapan dengan Kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh UMNO/BN.

Selain itu, Datuk Kadir Jasin bekas ketua pengarang Kumpulan Akhbar New Straits Times yang juga bekas penasihat media kepada Tun Dr Mahathir turut memuat naik di Facebooknya yang menyatakan pembangkang perlu fikir kepimpinan yang baru atau kleptokrasi Umno akan kembali bermaharajalela.