Kerajaan tidak berhasrat untuk menutup aplikasi TikTok di negara ini pada tahun hadapan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil.
”Saya nampak mungkin untuk tahun depan ini, kita tidak berhasrat untuk menutup TikTok, tetapi kita kalau boleh, nak ‘tutup’ mereka yang merosakkan nama TikTok.. lebih kurang macam itu.
”Saya harap penonton di sini semua, baik-baiklah kamu dalam TikTok ya. Dulu saya pernah kena tegur dengan puak-puak yang suka panggil saya macam-macamlah dalam aplikasi itu.. kata nak hantar itulah, inilah..
”Asasnya, kita ada hak untuk bersuara.. anda boleh menggunakan saluran yang ada, tetapi kita juga ada undang-undang dan adab.. kalau kita ‘cross the line’, bersedialah…,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Suara Anak Madani yang turut menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Program tersebut telah diadakan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Pada 6 Disember lalu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dilapor sudah mengarahkan dua unit di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk menangkis dan menafikan isu-isu fitnah yang berlegar di media sosial.
Katanya, beliau juga memohon supaya anggota unit tersebut ditambah bagi memperkuatkan peranan berkenaan.
Pada masa sama, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut meminta Komuniti Madani di seluruh negara memainkan peranan sama dan menjadi ‘pembesar suara’ bagi kerajaan untuk berkongsi info sebenar.
Platform TikTok dilihat menjadi gelanggang pihak pembangkang yang memuatkan kandungan fitnah dan adu domba termasuk memainkan isu 3R iaitu agama, kaum dan raja dengan motif memburukkan Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baca:
Siapa kata boikot tak berkesan, data dedah Starbucks merosot 40 peratus
Memang leceh nak bersih kesan minyak pada bekas plastik, guna cara ni tak perlu sental pun