Realtime website trackingweb stats

Tidak terlambat lagi amal panduan 50/30/20, tidaklah hujung tahun pelik ke mana lesapnya duit

Oleh ARIF ABDULLAH

Tidak terlambat lagi untuk anda mengamalkan panduan 50/30/20 supaya tidaklah hujung tahun nanti pelik ke mana lesapnya duit.

Apa yang paling diperlukan ialah disiplin kewangan demi masa depan yang selamat tanpa perlu tebalkan muka meminjam daripada orang lain.

Caranya mudah iaitu patuhi peraturan perbelanjaan kepada tiga kategori, iaitu keperluan (50 peratus), kehendak (30 peratus) dan simpanan (20 peratus).

Tidak terlambat lagi amal panduan tidaklah hujung tahun pelik ke mana lesapnya duit

Peraturan itu merupakan antara yang paling kerap diguna dan dicadangkan pakar kewangan.

Ikuti 7 langkah ini sebagai gaya hidup belanjawan anda mengikut teknik 50/30/20:

1. Ketahui pendapatan

Tahu wang yang anda pasti terima setiap bulan dalam bentuk gaji, elaun, pemberian atau biasiswa.

Jika anda hanya mempunyai lebih daripada satu kerja, satukan pendapatan daripada kesemua kerja yang ada. Pastikan jumlah itu adalah yang anda pasti terima setiap bulan.

Dapatkan purata setiap bulan jika pendapatan anda tidak tetap.

2. Kira keperluan

Perbelanjaan yang tidak dapat elak setiap bulan. Ini termasuk tempat tinggal, utiliti, makanan, pengangkutan, insurans dan pakaian.

Untuk tahu berapa jumlah yang anda boleh belanjakan untuk keperluan, darabkan pendapatan anda dengan 0.5.

Contohnya, jika pendapatan anda RM3,000 sebulan, belanja untuk keperluan adalah sebanyak RM3,000 x 0.5 = RM1,500.

Maknanya, anda perlukan pastikan perbelanjaan untuk keperluan tidak melebihi RM1,500.

3. Kira kehendak

Perkara yang bukannya penting sangat tapi anda mahu buat dan miliki. Contohnya, riadah, hiburan, makan di luar, beli-belah atau melancong.

Untuk tahu berapa yang boleh dibelanja untuk kehendak, darabkan pendapatan anda dengan 0.3.

Contohnya, jika pendapatan anda RM3,000, belanja untuk kehendak adalah sebanyak RM3,000 x 0.3 = RM900.

Oleh itu, anda perlu pastikan belanja untuk kehendak tidak melebihi RM900 sebulan.

4. Kira simpanan

Pastikan 20 peratus pendapatan anda untuk simpanan. Tetapkan beberapa jenis simpanan dengan jumlahnya tidak melebihi 20 peratus daripada pendapatan.

Jenis-jenis simpanan yang boleh dipertimbangkan termasuk simpanan kecemasan, simpanan persaraan, simpanan pendidikan dan simpanan pembelian barangan besar (seperti kereta, rumah dan lain-lain).

Untuk tahu berapa yang anda boleh belanjakan untuk simpanan, darabkan pendapatan dengan 0.2.

Contohnya, jika pendapatan anda RM3,000, belanja untuk simpanan adalah sebanyak RM3,000 x 0.2 = RM600.

5. Tulis perbelanjaan sebenar

Selepas menentukan belanjawan, anda boleh mula mengira perbelanjaan sebenar yang diamalkan sebelum belanjawan itu dibina. Anda boleh merujuk kenyataan bank terbaharu.

Catatkan perbelanjaan tersebut mengikut tiga kategori tadi. Contohnya, kalau anda belanja RM100 untuk bil utiliti, letakkannya di bawah kategori keperluan. Jika anda belanja RM100 untuk menonton wayang, letak di bawah kategori kehendak.

6. Banding perbelanjaan sebenar dengan belanjawan

Kini tiba masa untuk berhadapan realiti. Ini penting untuk kita tahu sikap dan disiplin semasa – adakah pengurusan kewangan kita ketika ini cukup baik atau perlu dibaiki?

Caranya, tolakkan jumlah perbelanjaan sebenar anda dengan belanjawan yang telah dibina, dalam ketiga-tiga kategori.

Jika jumlahnya positif, maknanya anda sudah mengamalkan disiplin kewangan yang baik. Jika negatif, ada yang perlu diperbetul.

7. Perbaiki perbelanjaan

Jika perbelanjaan anda negatif selepas ditolak dengan kiraan belanjawan, jangan risau.

Boleh lihat pada kategori lain, ada tak yang dibelanja lebih sehingga menyebabkan kategori lain terkurang. Jika ya, perbetulkan semula perbelanjaan anda pada bulan seterusnya.

Jika negatif dalam ketiga-tiga kategori, ini bermakna anda sudah terlebih belanja. Jalan keluarnya hanya dengan mengurangkan perbelanjaan atau menambah pendapatan.

Sebaliknya, jika ada lebihan dalam ketiga-tiga kategori, maknanya anda berbelanja kurang daripada panduan peraturan 50/30/20. Ini sangat bagus.

Anda boleh menggunakan wang tersebut sama ada untuk menambah baik kualiti hidup dengan meningkatkan perbelanjaan keperluan (seperti berpindah rumah/bilik yang lebih selesa), menambah belanja kehendak, tambah simpanan atau bersedekah.

Baca:

Belum sehari disiarkan, Aliff Syukri ‘take down’ MV raya di semua platform, rupanya ini sebabnya

Berang genosid terus berlaku, perusuh di Pakistan bakar KFC

‘Jawablah di akhirat esok’ – Peniaga menangis selepas YB Kedah tergamak arah pesta jualan Raya ditutup