Realtime website trackingweb stats

Terpaksa mohon cop halal Indonesia, Malaysia rupanya belum ada lagi logo halal untuk makanan haiwan

Oleh FATIN AQILAH

Produk makanan kucing daripada jenama Power Cat keluaran Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) untuk pasaran eksport menerima pensijilan halal daripada Majlis Ulama Indonesia.

Presiden Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi), Adrian Ros­lan berkata, pada masa ini makanan kucing di pasaran tempatan tidak memerlukan sijil halal.

“Kami ada menyatakan hasrat kepada Jakim supaya mewujudkan logo halal untuk makanan haiwan, namun kami faham bukan mudah untuk mewujudkan skop baharu dalam pensijilan halal,” katanya, dipetik Kosmo.

Beliau memberitahu produk makanan kucing halal kini dilihat semakin mendapat permintaan global, terutamanya daripada pasaran di rantau Asia Tenggara termasuk Filipina, Brunei dan Singapura.

Lantaran sambutan amat baik dari pasaran luar negara terutamanya Filipina, katanya, fasiliti pengeluaran syarikat yang bertempat di Rawang hinggakan tidak memiliki keupayaan mencukupi untuk memenuhi permintaan dari Filipina.

Adabi bagaimanapun, ujarnya, telah pun memulakan kerja-kerja naik taraf fasiliti pengelua­ran makanan kucingnya termasuk melibatkan pembelian mesin baharu, yang dijangka selesai sekitar Jun ini.

“Adabi sebelum ini popular dengan produk serbuk kari, namun segmen ini sebenarnya telah jatuh ke tangga kedua dan digantikan dengan segmen makanan kucing yang kini menyumbang kira-kira 23 peratus daripada perolehan syarikat,” katanya.

Adrian menambah, terdapat pasaran besar bagi makanan kucing halal di negara ini dan berdasarkan tinjauan pasaran yang dilakukan pihaknya, keperluan pensijilan halal untuk makanan kucing sememangnya ada.

“Ramai umat Islam yang membela kucing dan masyarakat Melayu pun ramai yang begitu sensitif tentang isu halal ini.

“Ada pelanggan kami yang menyatakan mereka sedikit geli untuk memegang makanan haiwan yang tidak diketahui status halalnya sehingga ada yang mengenakan sarung tangan untuk mengendalikannya,” kata Adrian lagi.

Baca:

Projek penempatan manusia di bulan menjelang 2040, ini kemajuan NASA yang diketahui setakat ini

Lelaki kongsi cerita lihat kera bewarna putih bersama tuan berjubah, beruk berdiri seperti manusia

“Lepas kahwin suami mula tunjuk perangai, pasal benda sekecil ini pun boleh jadi perang”- Isteri kecewa