Selesainya Olimpik Paris 2024, tumpuan kini beralih kepada temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang sedang berlangsung di Sarawak.
Antara figura yang menarik perhatian pada Sukma kali ini ialah penerjun berusia 18 tahun dari Sarawak, Elvis Priestley Anak Clement.
Elvis telah mencatat kejayaan cemerlang dengan meraih pingat emas dalam acara terjun tiga meter (m) papan anjal lelaki, mengalahkan dua pencabar terdekat dari Wilayah Persekutuan.
Beliau juga memenangi pingat emas kedua di Sukma Sarawak dalam acara terjun seirama 10m bersama Enrique Maccartney Harold.
Video terjunan solo Elvis turut menjadi tular, dan beliau disamakan dengan penerjun-penerjun handalan dari China. Elvis dijangka akan
menjadi saingan sengit bagi mereka di Olimpik Los Angeles (LA) 2028 nanti.
Apa yang paling mencuri tumpuan ialah percikan yang terhasil ketika terjunan Elvis sangat minimum, sehingga dikatakan seperti jarum jatuh ke dalam air.
Penerjun Sarawak ini dilahirkan pada 11 Oktober 2006.
Nama Elvis menarik perhatian ramai kerana hampir sama dengan nama penyanyi legenda Amerika Syarikat, mendiang Elvis Presley.
Elvis meraih pingat emas menerusi terjunan yang dilakukan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Kuching, yang dinamakan sempena nama ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.
Elvis memastikan tidur yang cukup menjadi rutin harian untuk kekal tenang dan fokus ketika bertanding.
Elvis bercita-cita untuk meraih kedudukan podium di Kejohanan Dunia Remaja Rio de Janeiro yang akan berlangsung dari November hingga Disember tahun ini.
Elvis juga berhasrat untuk mengikuti jejak rakannya, Bertrand Rhodict, yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 dan bertekad untuk melayakkan diri ke Olimpik LA 2028.
Jika berjaya ke Olimpik LA 2028, Elvis akan berumur 22 tahun pada masa itu.
Elvis telah menjadi pelapis kebangsaan sejak tahun 2019, menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Elvis berada di bawah seliaan Majlis Sukan Negara sejak lima tahun lalu.
Penerjun ini dilatih di Bukit Jalil oleh jurulatih kebangsaan Luh Jia Ning dari China.
Elvis juga dijangka akan menyertai Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Thailand.
BACA: ‘Din nak pergi mana? Abah nak ikut. Boleh abah ikut?’ Perkongsian lelaki ini buat ramai sebak