Tawaran terdesak untuk terus berkuasa

Oleh ADINDA

Tan Sri Mahiaddin tidak ada pilihan selain daripada meletakkan jawatan. Beliau tidak lagi mempunyai kuasa untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan untuk membubarkan Parlimen kerana beliau bukan lagi Perdana Menteri yang sah.

Pengamal undang-undang, Wan Anwar Wan Ibrahim, berpandangan tindakan melakukan ucapan khas Perdana Menteri pada 13 Ogos lalu jelas menunjukkan bahawa beliau sebenarnya telah hilang majoriti sokongan sebagai Perdana Menteri.

“Adalah melucukan apabila beliau terlalu menekankan bahawa tidak ada seorang pun mana-mana Ahli Parlimen yang kini memperolehi majoriti sokongan sedangkan beliau sendiri sepatutnya sudah lama hilang majoriti sebagai Perdana Menteri. Maka sewajarnya beliau meletakkan jawatan serta merta sebagai memenuhi komitmen untuk mengambil langkah terhormat bagi menyelesaikan kemelut pada masa ini.”

Pengumuman Khas Perdana Menteri yang menawarkan pelbagai tawaran sebagai balasan untuk menyokong undi percaya terhadapnya disiarkan secara langsung pada 13 Ogos yang lalu.

Selanjutnya, tidak timbul isu atau masalah kerajaan tidak stabil sekiranya beliau dan kabinet meletakkan jawatan kerana negara masih mempunyai barisan para birokrat penjawat awam sebagai lapisan kedua bagi mengisi vakum untuk terus meneruskan pentadbiran secara interim sehingga Perdana Menteri baru dilantik dengan kadar segera, menurut Wan Anwar.

Wan Anwar yang juga Pengarah Komunikasi Amanah Selangor dan Jawtankuasa Biro Undang-undang Kanun turut menyelar tindakan Tan Sri Mahiaddin yang telah membuat tawaran-tawaran yang disifatkan tanpa segan silu dengan tujuan untuk memujuk Ahli-ahli Parlimen pembangkang memberikan undi percaya kepada beliau semasa sidang Parlimen nanti.

“Saya melihat bahawa jelas tawaran-tawaran yang telah dibuat oleh beliau tersebut adalah bersifat tidak ikhlas dan terdesak untuk memastikan bahawa beliau terus berkuasa.”

“Tawaran terbaik yang boleh dibuat oleh Tan Sri Mahiaddin yang mengaku patuh kepada undang-undang tidak lain tidak bukan adalah meletakkan jawatan di bawah Perkara 43 (4) Perlembagaan.”

Sebelum itu, dalam saru ucapan khas Perdana Menteri, 13 Ogos yang lalu, pelbagai tawaran diumumkan Perdana Menteri termasuk peruntukan kepada pembangkang, RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan anti lompat parti,  reformasi Parlimen serta status menteri kanan bagi Ketua Pembangkang dan Undi 18 sebagai balasan jika diberi sokongan dalam usul undi percaya di Dewan Rakyat yang dijangka pada September nanti.