S.O.S: Tangki dan Oksigen diperlukan segera di hospital kerajaan Lembah Klang

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Kerajaan diminta menyelesaikan segera masalah kekurangan tangki dan juga oksigen di hospital-hospital kerajaan di Lembah Klang khasnya di Selangor.

Menurut ahli parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus, beliau telah menerima aduan daripada orang ramai bahawa keadaan di semua hospital kerajaan di seluruh negeri Selangor sedang berada di dalam keadaan yang sangat tertekan dan telah melangkaui “𝗯𝗿𝗲𝗮𝗸𝗶𝗻𝗴 𝗽𝗼𝗶𝗻𝘁”.

Berdasarkan daripada maklum balas pesakit dan ahli keluarga mereka yang telah mendapatkan rawatan di beberapa hospital kerajaan, terdapat kekurangan bekalan tangki oksigen yang meruncing hampir di semua hospital menyebabkan keadaan yang sangat kritikal ketika ini, katanya.

“Ia berkemungkinan kesan daripada peningkatan kes Covid -19 yang naik mendadak semenjak beberapa hari lalu,” kata Naib Presiden yang juga Ketua Whip Parti Amanah Negara itu.

Hari ini sahaja bilangan kes positif di Selangor mencecah 4,400 kes. Daerah Petaling telah mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,851 kes, manakala Daerah Klang dengan 945 kes.
Turut menunjukkan bilangan kes yang tinggi adalah Daerah Hulu Langat dengan 765 kes, katanya.

“Saya ingin bertanya kepada YB Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba apakah benar situasi semasa yang sedang melanda di semua hospital kerajaan di negeri Selangor ini?

“Apakah tindakan segera yang telah diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengatasi masalah bekalan oksigen untuk menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 di negeri ini?” soal beliau.

Beliau bertanya, mengapa Menteri Kesihatan dan 2 Timbalan Menterinya lambat melayan jeritan suara petugas-petugas kita di hospital-hospital berkenaan.

Apakah pula tindakan susulan yang akan dilaksanakan bagi memastikan perkara ini tidak berulang lagi?

“Saya memohon jawapan segera daripada YB Menteri Kesihatan dan Kerajaan yang baru mendapat Timbalan Perdana Menteri yang dilihat gagal oleh dunia antarabangsa dan masyarakat setempat,” katanya.

Sumber:@malaysiadateline

Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia.
Email NextStepMalaysia: [email protected]