Realtime website trackingweb stats

‘Tak sangka dapat penghargaan sampai macam ini’- Besarkan 3 anak melayu, lelaki cina penerima anugerah Maulidur Rasul

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Michael Tong Wai Siong tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti dia akan menjadi bapa kepada

Tiga anak lelaki dari latar belakang dan agama yang berbeza.

Namun, takdir telah mengubah hidup lelaki Cina yang mesra dikenali sebagai Uncle Mike ini.

Uncle Mike menjelaskan minat mendalamnya terhadap kerja kebajikan dan penglibatannya dalam program rumah amal melalui kelab kereta yang disertainya.

Tanpa diduga, usaha tersebut telah membawa kepada pertemuan dengan tiga anak angkat Melayu.

'Tak sangka dapat penghargaan sampai macam ini'- Besarkan 3 anak melayu, lelaki cina penerima anugerah Maulidur Rasul

Komitmennya dalam mempromosikan nilai perpaduan masyarakat Malaysia yang pelbagai bangsa dan agama telah membolehkannya menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024.

Anugerah ini disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) pada hari Isnin.

Lebih istimewa lagi, Uncle Mike adalah satu-satunya penerima berbangsa Cina yang diiktiraf dalam acara yang penuh makna bagi umat Islam ini.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ini, terharu dan gembira bercampur baur. Tidak pernah sangka dari latar belakang keluarga biasa ini saya dapat penghargaan sebegini.

“Penghargaan ini memberi inspirasi dan motivasi kepada saya untuk terus melakukan kebajikan dan membantu lebih ramai yang memerlukan,” katanya.

Mengenang kembali bagaimana dia mengambil tiga anak angkatnya, semuanya bermula lebih 16 tahun lalu apabila dia bertemu seorang kanak-kanak Melayu yatim piatu di sebuah rumah anak yatim. Kanak-kanak tersebut, Rafei Ahmad Fauzi, yang ketika itu berusia 12 tahun, telah dibawa tinggal bersamanya.

Namun, kerana tidak sanggup melihat dua adik Rafei bersedih akibat terpaksa berpisah, Uncle Mike memutuskan untuk menjaga ketiga-tiga mereka.

Kini, selepas hampir 16 tahun bersama, hubungan kasih sayang antara Uncle Mike dan Rafei, 29, bersama dua adiknya, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24, tetap utuh walaupun tanpa ikatan darah.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang turut terbuka menerima ketiga-tiga anak angkat saya ini.

Malah, keluarga juga menasihatkan saya agar menjaga mereka dengan baik. Ini adalah rahsia yang saya simpan sejak 16 tahun lalu dan tidak ramai yang tahu,” katanya.

BACA:Dah macam-macam cara guna cuci comforter, sental guna tangan pun masih kotor, ini cara betul guna mesin basuh