Ada yang risau banyak pula habis keluar duit kalau ‘berjalan’. Sebenarnya, ada saja cara jimat untuk menikmati hari cuti. Hanya perlu kreatif dan paling penting ukur baju di badan sendiri.
Yang penting manfaatkan hari cuti bersama ahli keluarga atau rakan bukannya tidur sahaja sehingga matahari naik segalah.
Bagi Ain Ashida, cara mereka sekeluarga dengan duit yang terhad mudah sahaja. Ujarnya, masak saja dari rumah dan bawa bekal, bawa anak-anak berkelah di taman terdekat.
“Anak-anak pun seronok, lepas bebas, dapat main puas-puas,” katanya.
Hal sama juga dicadangkan Faiz Reen yang menulis, “Bawa bekal. Bentang kain tepi Tasik Putrajaya tu pun happy dah”.
Di Lembah Klang khususnya, banyak kawasan taman rekreasi awam boleh dikunjungi mulai esok pagi dengan membawa ahli keluarga bersenam, berjalan, berjogging dan berbasikal.
Sekitar Kuala Lumpur sahaja, terdapat Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Permaisuri dan taman rekreasi terbesar di ibu negara di Taman Tasik Metropolitan Kepong.
Sementara itu, ramai lagi berpendapat sekalipun wang menjadi kekangan, tiada alasan untuk memanfaatkan masa berkualiti bersama anak-anak di rumah sahaja.
“Cuti tidak semestinya keluar jalan. Duduk rumah pun best. Bahagikan tugas pada anak-anak. Kemas bilik, cuci bilik air dan cuci kereta.
“Ganjarannya kita beli makanan kegemaran mereka dan makan beramai-ramai. Boleh juga masak sedap-sedap kemudian tengok wayang di rumah sama-sama. Bahagia,” kata seorang netizen.
Ada juga menyarankan masa terluang sepanjang tempoh cuti ini boleh diisi dengan pelbagai aktiviti yang tidak mengeluarkan wang termasuk mendirikan solat berjemaah di surau atau masjid berdekatan rumah.
“Duduk rumah diam-diam, ajak anak main pondok-pondok macam kita dulu. Ziarah jiran kot ada yang sakit. Ke surau setiap waktu, insya-Allah, masa akan penuh terisi,” nasihat Azman Alias pula.
Baca:
“Saya dah tak larat, sudah 13 tahun, saya fikir pergaduhan ini perlu dinoktahkan” – Neelofa
Bagi yang nak mula berlari, boleh ikut panduan ini, Tengku Zafrul pun amal latihan interval