Pengacara Uyaina Arshad tidak mempedulikan tindakan segelintir netizen yang mengecam perkongsiannya
Mengenai kesedaran isu gangguan seksual, terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.
Menurut Uyaina, dia tidak akan terpengaruh dengan cemuhan atau kritikan kerana sudah lali dengan perkara tersebut.
Sebaliknya, dia akan terus mendidik masyarakat mengenai isu ini, terutama selepas kes Abang Bas menjadi tular.
“Saya melihat ini sebagai cabaran untuk memberi pendidikan kepada masyarakat.
Tidak perlu mempunyai latar belakang undang-undang untuk bercakap atau bersuara mengenai perkara ini. Yang penting adalah menggunakan akal fikiran,” katanya.
Uyaina juga menjelaskan bahawa isu ini sudah termaktub dalam undang-undang. “Apa yang Abang Bas lakukan adalah salah menurut akta. Jadi, siapa saya untuk bercakap sesuka hati?” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai tindakan netizen yang sanggup menderma untuk membayar ikat jamin Abang Bas, Uyaina berkata bahawa setiap individu berhak mendapat pembelaan selagi belum disabitkan bersalah.
“Ini adalah hak undang-undang untuk semua orang, tanpa mengira siapa mereka. Alhamdulillah, ada peguam yang secara sukarela mengambil kes tersebut dan ada yang ingin membela dia.
Itu adalah hak asasi setiap orang untuk diberi peluang membela diri mereka sendiri. Saya tidak pernah menjatuhkan hukuman kepada Abang Bas; itu adalah tugas mahkamah. Saya di sini hanya untuk menyebarkan kesedaran,” ujarnya.
“Saya bercakap berdasarkan fakta. Jika ada yang mahu menganggap saya ‘terpaling,’ itu terpulang. Saya hanya mampu menyebarkan kesedaran sahaja,” tambahnya.
BACA: Ini cara lajukan balik kipas di kampung yang slow tak boleh bawak bincang