Realtime website trackingweb stats

‘Tak membantu jernihkan keadaan’ PMX tegur Teresa Kok

Oleh NURAIMAN

Kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengenai isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menyatakan bahawa kenyataan Naib Pengerusi DAP itu telah mencetuskan kontroversi yang dianggap tidak relevan kepada masyarakat negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menasihatkan pemimpin politik agar mengemukakan cadangan atau kebimbangan mereka

dalam mesyuarat rasmi supaya perkara tersebut dapat diteliti dengan lebih mendalam.

“Tak perlu timbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita. Jika ada masalah, peraturan perlu dilaksanakan supaya umat Islam tidak merasa was-was.

'Tak membantu jernihkan keadaan' PMX tegur Teresa Kok

Namun, jika Teresa merasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu, bincanglah secara baik,” katanya ketika merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan; dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Hadir sama adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Pengerusi Lembaga Lebuhraya, Datuk Seri Hasni Mohammad; dan Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.

Kelmarin, Teresa Kok dipetik berkata bahawa pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, dan bukan secara paksaan.

Teresa juga berpendapat bahawa mewajibkan restoran dan syarikat makanan untuk memiliki sijil halal akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan memberikan beban tambahan kepada perniagaan kecil. Beliau mendakwa bahawa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan meningkatkan kos pentadbiran.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Kenyataan Teresa telah menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Anwar, yang juga Pengerusi PH, berkata Teresa tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak membantu untuk memperbaiki keadaan.

“Jika dia mahu mewakili beberapa pihak, itu tidak mengapa, tetapi tidak perlu buat kenyataan secara terbuka yang tidak membantu. Kita perlu menjaga sentimen umat Islam dan bukan Islam.

Rundinglah secara baik dahulu. Negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik stabil, penghargaan dunia baik, ekonomi meningkat. Jadi, mengapa perlu timbulkan perkara yang boleh merosakkan keharmonian dan kesejahteraan negara?” tambahnya.

BACA: ‘Cuma jangan lebih dari..’ Rupanya ada had sidai baju di rumah flat ramai tak tahu