Tak mahu lagi lalai solat, remaja Orang Asli ini sanggup redah sungai 30km, hasilnya amat mengharukan. Seorang pemuda Orang Asli meredah Sungai Tasek Banding sejauh 30 kilometer (km) menggunakan bot dalam usaha mendalami Islam di Pondok Pengajian Islam (PPI) Kok Lanas, di sini.
Mohd Azmil Sudin, 19, berketurunan Temur memilih laluan sungai kerana lebih cepat berbanding jalan darat yang lebih sukar apabila perlu melalui laluan berbukit.
Menurutnya, demi jihad di jalan Allah beliau rela mengorbankan masa bersama keluarga di kampung halaman di Pos Kemar, Gerik, Perak sejak Julai tahun lalu.
Katanya, kehidupannya menjadi lebih baik dan tenang selepas bertemu guru dan rakan baharu selain mengikuti pelbagai aktiviti keagamaan disusun pihak pengurusan.
“Walaupun saya dilahirkan dalam keluarga beragama Islam, namun kami tidak pernah mempraktikkannya secara mendalam.
“Saya juga lalai untuk menunaikan kewajipan sebagai umat Islam termasuk berpuasa pada Ramadan dan solat lima waktu,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA), Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan, di Kok Lanas, di sini.
Mohd Azmil berkata, beliau mengambil keputusan untuk belajar di pondok berkenaan atas kerelaan hati sendiri kerana ingin membimbing ahli keluarganya yang lain.
“Ibu dan ayah tidak pernah menghalang ketika saya menyuarakan hasrat untuk belajar mendalami Islam,” katanya.
Katanya, selama lapan bulan berada di pondok berkenaan, beliau sudah dapat membaca surah pendek selain menjadi imam kepada keluarga dan rakan.
“Bukan mudah untuk saya mengharungi cabaran sepanjang belajar dan perlu lebih fokus untuk memahami setiap apa yang diajar oleh tenaga pengajar.
“Alhamdulillah, saya dapat melaluinya kerana guru dan rakan-rakan banyak membantu,” katanya.
Anak kelima daripada enam beradik ini menganggap pertama kali dalam hidupnya berasa gembira kerana selepas berusia 18 tahun beliau kini benar-benar menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam.
“Saya tahu masih banyak yang perlu dipelajari dalam Islam, jadi saya menggunakan peluang ini dengan sebaiknya dan berharap terus istiqamah menjadi Muslim sejati,” katanya.