Realtime website trackingweb stats

Saya boleh dapat tanah di Putrajaya, dua AP tapi saya tolak – Syed Saddiq

Oleh ADINDA

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan beliau menolak pemberian sebidang tanah di Putrajaya ketika menjawat jawatan sebagai menteri yang bernilai jutaan ringgit.

Syed Saddiq turut menyatakan beliau berhak untuk memiliki 2 AP (permit kelulusan mengimport) tetapi juga tidak mengambilnya atau menjualnya seperti yang dilakukan oleh kebanyakkan ahli politik senior.

“Saya berhak mendapat RM70,000 untuk percutian tapi saya terbang menaiki Air Asia ke UK, tempat duduk biasa. Saya tidak mempunyai pakaian berjenama Armani atau Gucci. Pergi dan periksa. Saya menggunakan jenama buatan tempatan untuk menyokong jenama Malaysia” tegas Syed Saddiq

Kereta yang digunakan Syed Saddiq juga merupakan milik ibu bapanya yang dibeli pada tahun 2014.

Bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon sumbangan ramai untuk membantunya melunaskan wang ikat jamin berjumlah RM330,000 sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis.

Sumbangan berkenaan juga bagi membiayai kos guaman melibatkan kes mahkamah Ahli Parlimen Muar itu.

“Sebagaimana yang anda tahu, saya tak datang daripada keluarga berada, keluarga dinasti… ibu ayah bukan pemimpin politik atau punya perniagaan yang kaya.

“Dan anda juga tahu saya menghabiskan tiga bulan gaji saya untuk membantu mereka yang terkesan kerana Covid-19 di Muar. Jumlah itu agak besar tapi saya hormati mahkamah dan hakim. Jadi saya benar-benar perlukan pertolongan anda.

Syed Saddiq membuat siaran langsung (live) di Facebook dan Instagram bagi menjawab tuduhan mahkamah yang dihadapinya.

“Saya dengan ikhlas merayu pertolongan anda untuk menyumbang. Link untuk derma telah saya kongsikan di ruangan komen (klik disini). Kongsikan link ini bersama keluarga dan rakan.

“Walaupun sumbangan berjumlah 50 sen atau RM1 tapi kalau ribuan yang menyumbang, kita akan capai jumlah berkenaan dan saya mampu membayar kepada mahkamah. Jadi saya benar-benar perlukan bantuan anda,” katanya dalam siaran secara langsung (live) di media sosial pada malam Khamis, sewaktu menjawab tuduhan mahkamah yang dihadapinya.

Menurut Syed Saddiq, dia mempunyai tempoh sehingga Selasa ini untuk menjelaskan ikat jamin berkenaan.

Terdahulu Syed Saddiq dibicarakan atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM1 juta daripada dana milik Parti Pribumi Bersatu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Muar berusia 29 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah setelah pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pada Khamis pagi.