Aksi Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid suap suaminya makan nampak ‘sweet’ saja walaupun mereka sedang diduga ujian kesihatan.
Keadaan jantung Datuk Acis atau nama sebenarnya Hashridz Murshim Hassim, 52, tidak stabil.
Pengarah muzik terkenal baru sahaja selamat menjalani prosedur angiogram dan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) pagi 7 Oktober lalu.
Rupanya, pada Jun 2018, Acis pernah dimasukkan ke Pusat Perubatan KPJ Damansara ketika empat hari lagi Syawal tiba.
Namun, pada masa itu, berita yang dikongsikan oleh Acis sendiri menerusi akaun media sosial Instagramnya, 11 Jun 2018, beliau tidak memaklumkan punca penyakitnya.
Tahun ini, menurut Sheila, suaminya dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak 2 Oktober lalu (Isnin) selepas berdepan masalah pernafasan dan pedih ulu hati.
“Suami saya, Acis dimasukkan ke IJN Isnin lalu kerana mengalami kesukaran bernafas dan pedih ulu hati. Selepas pemeriksaan, pihak hospital mengenal pasti keadaan jantungnya tidak stabil.
“Pagi semalam Acis selamat menjalani prosedur angiogram, disusuli prosedur angioplasty. Alhamdulillah, kedua-dua prosedur itu berjaya,” ujarnya.
Penyanyi ‘Pengemis Muda’ dan ‘Sinaran’ itu turut memberitahu doktor membuat pemasangan ‘stent’ pada arteri utama selain meletakkan dua belon di bahagian lain arteri yang tersumbat dalam jantung.
“Dia kini masih dirawat di hospital untuk pemantauan dan akan dibenarkan pulang tidak lama lagi. Insya-Allah,” tulisnya menerusi perkongsian dalam Instagram.
Menerusi hantaran sama, Sheila juga berkongsikan beberapa gambar sepanjang menemani suaminya di wad hospital.
Beliau bagaimanapun bersyukur apabila masalah yang dihidapi suami yang dikahwininya pada 2003 itu dapat dikenal pasti dengan lebih awal.
Sheila dan Acis yang dahulunya salah seorang anggota kumpulan rock terkenal, kumpulan Gersang dikurniakan dua cahaya mata.
Dalam perkahwinan pertama Sheila dengan Aziz Roslan, mereka mempunyai dua anak iaitu Wan Nur Khaleda dan Megat Abdul Majid.
Baca:
Nyanyi lagu rock kapak dalam majlis kahwin orang India, ramai kagum vokal padu budak ini