Sungguh lucunya negara ini

Oleh ADINDA

Atriza Umar

Rakyat tertekan, pemimpin berantakan

Masihkan kita ingat, di awal-awal ‘mengisi’ tampuk kepimpinan negara, dengan penuh yakin mengatakan, “Tiada keperluan lantik Timbalan Perdana Menteri (TPM).”

Tup-tup, pada saat negara sedang bergelumang dengan pandemik yang telah membunuh ramai rakyatnya, tanpa rasa bersalah atau paling tidak sedikit rasa simpati, melantik pula TPM.

Sudah kenapa pemimpin negara Malaysia ini? Kononnya pada tahun lalu, tepatnya pada 9 Mac 2020, sebagaimana dilaporkan media, beliau mengatakan:

“Menteri-Menteri Kanan akan bantu tugas Perdana Menteri termasuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet di waktu ketiadaan saya di dalam negara.”

“Maka tiada keperluan pada masa ini untuk seorang Timbalan Perdana Menteri dilantik,” katanya dalam sidang media pengumuman Jemaah Kabinet di Putrajaya.

Kenyataan Muhyiddin Yaasin pada 9 Mac 2020

Tapi pada saat rakyat terhimpit, tersepit dan pelbagai ujian perasaan serta yang lainnya melanda, dengan selambanya jawatan nombor dua negara itu diisi dengan sangat drastik tanpa ada perbincangan yang jelas.

Petang semalam, dengan sungguh tergesa-gesa beliau mengumumkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu.

Jiwa-jiwa warganya terus dirobek

Perdana Menteri daripada kerajaan Perikatan Nasional ini perlu bertanggungjawab terhadap segala tindakannya yang banyak memberi kesan yang tidak baik kepada rakyat Malaysia.

Covid-19 yang masih menggila, rakyat yang dalam rela paksa duduk di rumah mengikut arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan pelbagai cabaran lain yang perlu didepani, dia mengambil sikap seakan-akan tiada apa yang terjadi pada rakyatnya.

Begitu tega dirinya melakukan demikian. Suara-suara tangisan kerana lapar dan tertekan rakyatnya tidak dipeduli apalagi tiada ihsannya.

Seharusnya pada waktu yang getir ini, beliau selaku orang nombor satu negara, mengambil sikap yang bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh untuk merawat dan memperbaiki situasi yang terpaksa dipikul rakyat jelata.

Bukan terus-terusan menambahkan beban dan membuat tindakan yang menambah perit jiwa-jiwa warganya.

Betapa seorang Perdana Menteri bersama menteri-menterinya seharusnya menyelami apa yang rakyatnya hadapi serta menemukan solusi yang terbaik untuk menangani segala situasi itu.

Sepatutnya, ini bukanlah masanya untuk melantik posisi baru dalam kerajaannya, tetapi beliau sewajarnya memperjuangkan hak rakyat yang sangat memerlukan keselamatan, kesihatan, kebajikan, makanan, pendidikan dan keperluan lainnya untuk meneruskan kehidupan.

Tetapi hal demikian tidaklah terjadi pada pemimpin kerajaan PN ini. Sungguh lucunya negara ini yang punya pemimpin sedemikian.

Individu yang disahkan positif COVID-19 beratur panjang bagi menghadiri penilaian daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13, Shah Alam.  Empat negeri menunjukkan peningkatan kes harian baharu melebihi kapasiti maksimum hospital dan berkemungkinan sistem kesihatannya akan lumpuh, sekiranya tidak dikawal.

Ke mana lagi rakyat mahu mengadu?

“Seakan tiada pemimpin di negara ini,” demikianlah luahan netizen, ketika merasakan peritnya kehidupan yang terpaksa dilalui kini.

Boleh jadi kerana apa yang dialami tidak mendapat perhatian daripada kerajaan yang berkuasa kini.

Para politikus kerajaan terus gelojoh mempertahankan ‘periuk nasi’ masing-masing walaupun telah pelbagai jeritan dan suara-suara rakyat menolaknya, menzahirkan ketidakpuasan hati mereka. Sangat sadis sekali, segalanya itu seakan tidak dipedulikan.

Adakah mereka yang di peringkat atasan ingin melihat lebih ramai lagi nyawa tergadai disebabkan ulah kerakusan mereka yang tidak berkesudahan?

Di mana fokus dan usaha mereka untuk membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik ini serta apakah rasional yang mereka perjuangkan untuk menangani Covid-19 juga pendekatan inklusif bagi memastikan proses vaksinasi juga imunisasi dapat disegerakan?

Selain angkat tangan memohon doa kepada yang Esa, kita teruskan desakan sebagai rakyat agar segala kemelut dan ketidakadilan ini perlu dinoktahkan.

Jangan terus dibiarkan rakyat di negara ini dinafikan haknya dan bersuara apalagi menginginkan sebuah kerajaan yang adil dan saksama, mengasihi dan peduli akan rakyatnya sebagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz yang sentiasa adil, mengenyangkan rakyatnya!

Kes cecah 8,000

Angka yang menakutkan terjadi juga. Bukankah rakyat sudah mengikut segala kuat kuasa yang diperintahkan? Namun PKP 3.0 yang sedang berlangsung ini bukan mengurangkan angka-angka itu tetapi meningkat sungguh.

Kewujudan kluster di sektor perkilangan menampakkan kerajaan tidak serius menangani isu yang terjadi ini. Apa tidaknya, masih banyak saja lagi kilang-kilang beroperasi dalam keadaan rakyat berusaha akur walau terpaksa mengikut langkah ini semata-mata ingin melihat angka itu turun hingga menjadi sifar.

Dan hari ini kes baharu positif Covid-19 di negara ini melepasi angka 8,000 dengan mencatatkan nilai 8,868 hari ini (semalam) menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam negara sehingga kini sebanyak 808,658 kes sebagaimana yang dilaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Twitternya.

Ini bukan lagi salah rakyat. Tetapi salah pemimpin yang sambil lewa dalam menyikapi segala yang terjadi.

Kuat kuasa yang ‘double-standard.’ Rakyat terus diancam dengan pelbagai denda dan hukuman, namun di pihak orang-orang mereka, orang ‘kayangan,’ sering didengar di kaca dan corong radio, masih dalam siasatan.

Benarkah parti sekutu PN tarik balik sokongan?

Umno mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan serta-merta.

“Segala panduan utama yang digariskan oleh UMNO sebagai syarat sokongan terhadap Muhyiddin sebelum ini telah gagal dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan,” kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi.

Menurutnya, kerajaan ini ternyata telah gagal dalam memenuhi segala aspirasi rakyat dalam beberapa perkara utama antaranya kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan keresahan rakyat, polisi tidak konsisten dengan pelaksanaan PKP separuh masak selama enam bulan.

“Kegagalan kerajaan amat nyata dalam menyalahgunakan Darurat yang dianggap sebagai muslihat politik hingga menyebabkan kemudaratan kepada rakyat, ekonomi negara sekali gus menafikan suara Umno yang membantah proklamasi Darurat.”

“Ini ternyata banyak membebankan rakyat dengan mengenakan kompaun yang bersifat dwi-standard apatah lagi terbeban dengan kelangsungan hidup.”

Selaras keputusan itu, Umno menuntut Muhyiddin meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik Covid-19 dan bantuan kepada rakyat.

Harapnya kenyataan yang dibuat oleh Presiden Umno itu bukanlah satu dramatik yang acah-acah menyedapkan hati rakyat yang sedang sarat kemarahan dan kegeraman kepada pihak yang memerintah.

Terbaharu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi status Facebook miliknya memberikan respons terhadap tindakan Umno menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini adalah bagi memberi fokus kepada kebajikan rakyat dan proses vaksinasi Covid-19,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang.

Dengan kenyataan yang dibuat oleh Presiden Umno itu, realitinya Malaysia pada hari ini adalah sebuah kerajaan yang tidak sah setelah Umno tarik diri daripada kerajaan PN malam tadi.

Dengan kata lain, kerajaan PN telah jatuh kerana sesebuah kerajaan bergantung kepada keabsahan Perdana Menteri (PM) yang perlu mempunyai keyakinan majoriti Ahli Parlimen sepertimana kehendak Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Demikian juga, majoriti yang dimiliki oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tergantung selagi mana tiada pengumuman rasmi jumlah Ahli Parlimen Umno yang menarik diri daripada kerajaan PN.

Seharusnya di pihak Umno, perlu bertindak segera, bukan melengahkannya,agar negara ini dapat diselamat dan dipulihkan segera.

Ahli Parlimen UMNO Dalam Kabinet Kerajaan PN

Kebijakan YDP Agong didambakan

Setelah beberapa kali desakan supaya parlimen perlu dibuka dengan segera, apatah lagi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seakan tidak dipedulikan, sewajarnya tindakan atau hukuman dikenakan kepada kerajaan yang memerintah kini.

Sebagaimana kata mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yang sekali lagi mengharapkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong diperlukan untuk merealisasikan kerajaan yang kukuh dan stabil bagi menangani Covid-19 dan ekonomi yang semakin buruk.

“Rakyat menderita, ekonomi dalam bahaya, Covid-19 terus meningkat. Amat malang bagi negara ini terpaksa melalui musibah ini. Tapi sekurangnya satu kegagalan dan pengkhianatan telah diakhiri,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Dan kita sebagai rakyat, teruskan #HerdikanRakyat agar kerajaan yang ada kini berundur secara terhormat dan segera letak jawatan, bagi menyelamatkan situasi yang melanda negara ini.

Bukan sahaja pandemik yang perlu ditangani, tetapi masalah yang lebih besar lagi ialah kebajikan, keselamatan, pendidikan, kelaparan rakyat, juga masalah ketidakadilan dan kerakusan kuasa yang ditayangkan.

Benar, kita tidak dapat berdemo seperti dulu-dulu sewaktu sebuah parti itu menjadi pembangkang. Tapi kita masih ada suara keramat yang pastinya kuat jika kita terus perjuangkan untuk menangkis segala ketidakadilan dan penindasan yang berlaku ini.

Teruskan doa-doa kita kepada Yang Maha Esa, teruskan juga #HerdikanRakyat agar segala tragedi yang tragis ini segera ada noktahnya, seterusnya Allah hadirkan pemimpin negara yang berjiwa rakyat yang dipimpin sebagaimana Allah dan Rasul-Nya inginkan. Dan insya-Allah, kita semua selamat menjadi rakyatnya.

Teruskan perjuangan kita demi negara Malaysia tercinta!

“Negaraku

Tanah tumpahnya darahku

Rakyat hidup

Bersatu dan maju

Rahmat bahagia

Tuhan kurniakan

Raja kita selamat bertakhta.”

Ayuh kita realisasi dan kembalikan ‘Negaraku’ itu.

 

Kecoh di seluruh media sosial mengenai satu kempen yang dilakukan oleh seorang pemuda mengenai 77 hari untuk menjadikan kes Covid-19 di negara menjadi sifar semula yang tular di laman Twitter dan Instagram sejak seminggu lalu.
Menurut pencetus @misirakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd. Azmi, 30, dia menjelaskan bahawa kempen tersebut adalah mengenai rakyat dan tiada mana-mana ahli politik yang terlibat di dalam kempen tersebut.

 

Atriza Umar | Pegawai Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan IKRAM Malaysia