Muhaimin Sulam
Ziarah ke Masjid Ayer Barok
Semasa di Tahun Dua saya di Universiti Malaya pada tahun 1987, kerja kursus kami ialah di Melaka dan Jasin menjadi antara destinasi kajian kami. Kajian kami selama seminggu itu adalah mengenai geografi kemanusiaan dan kerja kami diselia oleh beberapa pensyarah kami dari Jabatan Geografi. Walaupun saya meminati sejarah tetapi belum terdetik pada masa itu untuk lebih mendalami tentang sejarah tempatan dan kebijaksaan lokal. Setelah tiga dekad berlaku, saya kembali ke sini tetapi kekangan Covid 19 membataskan penerokaan di Jasin.
Jasin adalah bandar terhampir dengan Gunung Ledang, tempat lagenda puterinya yang menuntut jambatan emas dengan sultan Melaka. Jasin juga merupakan bandar terakhir sebelum melewati batas negeri Johor. Tiada garis pemisah yang jelas antara kedua-dua negeri kerana dari segi sosio budayanya banyak persamaan. Sumber tempatan mengatakan bahawa Jasin adalah tempat Hang Tuah disembunyikan oleh Bendahara semasa sultan Melaka menjatuhi hukuman bunuh. Pada masa itu, sekitar kawasan ini dikenali sebagai Hulu Duyong.
Dari bandar Melaka, sesampai ke bulatan, belok ke Jalan Kesang di sebelah kanan dan kira-kira 100 meter dari situ terletaknya sebuah masjid lama. Memandang papan tanda jalan Kesang itu mengingatkan saya tentang sejarah pedih Sultan Ali yang menjadi sultan wilayah Kesang. Akibat perebutan kuasa politik dalam istana dan campurtangan Inggeris, negeri dan pembesarnya dipecah-pecah menjadi kekuatan yang rapuh.
Sultan mangkat dalam buangan
Akhirnya Sultan Ali mangkat dalam buangan di Melaka dan wilayahnya yang secebis itu terlepas. Bagi menampung kehidupan baginda sebagai raja, baginda menyerahkan hak-hak pengutipan hasil kepada orang bukan tempatan dan memberi konsesi tanah kepada orang asing. Begitulah pembesar dan pihak yang berkuasa Melayu dahulu menampung kehidupan mereka yang mewah. Berperang sesama sendiri demi mendapatkan kuasa, wilayah dan takhta. Satu demi satu tanah orang Melayu terlepas juga akhirnya. Bukan dirampas atau diceroboh oleh bangsa asing.
Di Jasin terdapat muzium tetapi sayangnya ditutup. Jasin menurut sejarahnya diteroka oleh orang Melayu terutama dari Bugis, Pagar Ruyong dan sebagainya. Selepas peneroka tanah diberikan kebenaran oleh pembesar negeri membuka kawasan baru, mereka akan dirikan rumah dan juga masjid. Masjid adalah salah satu petanda kewujudan masyarakat Melayu. Salah satu petandanya di Jasin ialah Masjid Ayer Barok.
Masjid Ayer Barok ini dibina pada 1917 di pinggir pekan Jasin. Ada tulisan pintu masuk masjid tertulis 1916. Manakala tahun hijrahnya tertulis 1332. Penggunaan tahun hijrah masih punya pengaruh besar pada masa itu. Oleh kerana tiada tarikh yang tepat, apabila ditukar ke tahun masihi, tahun 1333 Hijrah bersamaan tahun 1916 dan 1917 Masihi. Biasanya kalender Hijrah digunakan untuk sebarang rujukan tarikh peristiwa di masjid pada masa dahulu.
Masjid ini diguna sepenuhnya sehingga 1969 kerana kerajaan telah membina masjid baru di pekan tersebut. Masjid ini hanya digunakan untuk solat lima waktu dan acara keagamaan tempatan. Ia berhampiran dengan sekolah rendah agama negeri, bekas rumah kakitangan kerajaan dan rumah-rumah tradisional orang Melayu. Masjid ini seperti menjadi petanda penempatan bandar yang dihuni oleh orang Melayu.
Masjid pusat masyarakat
Masjid ini didirikan diatas tanah yang diwakafkan oleh Datuk Senara, yang berasal dari Pagar Ruyong, Sumatera dan merupakan pembuka pekan Jasin. Bangunan kedai milik orang Tionghua di Jasin kebanyakan mula didirikan pada 1930an. Orang Melayu dan Tionghua hidup harmoni melihat kedudukan rumah mereka yang berjiranan.
Lantai marmar masjid itu berasal dari istana Kesultanan Deli yang dibeli oleh saudagar Deli bernama Tuan Haji Babu yang merupakan rakan kepada Sultan Deli. Kesultanan Deli telah dihapuskan semasa revolusi 1945. Hanya kraton Jogjakarta dan satu Kesultanan di Banjarmasin yang masih kekal. Itu pun lebih sebagai simbolik bangsa sahaja dan sebagai tanda penghargaan rakyat terhadap sumbangan pihak kraton tersebut bersama dengan perjuangan rakyat.
Dinding perigi yang diperbuat daripada batu laterite masih ada tetapi tidak digunakan. Ia terletak bersebelahan pintu utama masuk ke masjid. Dahulu perigi itu bukan sekadar untuk mengambil air sembahyang tetapi juga digunakan untuk keperluan orang kampong. Penduduk kampong membasuh pakaian di sini beramai-ramai secara bergilir. Mereka juga menggunakan air perigi untuk keperluan rumah seperti memasak dan air minum.
Menariknya batu laterite itu dipotong kemas tidak seperti kebanyakan batu laterite pada binaan lain. Menurut sumber tempatan, masjid ini dulu merupakan tempat hentian bas. Oleh sebab itu, masjid ini jadi pusat tumpuan terutama pelajar sekolah yang menggunakan bas sebagai pengangkutan utama. Ia juga berhampiran dengan bekas kuaters kerajaan dari pegawai hingga ke pekerja bawahan. Sayangnya bangunan tersebut ditinggalkan kosong tidak berpenghuni. Tidak jauh daripada situ adalah tanah wakaf yang bersemadinya Datuk Senara.
Masjid Ayer Barok adalah antara sebilangan kecil masjid lama yang tiada binaan tambahan. Ia mengekalkan binaan dan reka bentuk asal. Bahagian mihrabnya masih kekal. Tangganya juga gaya Melaka. Jubin di anak tangga itu sekarang sukar dicari. Ia mungkin diambil dari China. Ada jubin dari Jawa sebagai tambahan kerana coraknya ada kelainan daripada jubin awal.
Pembinaannya diselaraskan oleh Datuk Demang Haji Abu bin Haji Ujang bersama adiknya Haji Musa bin Ujang yang merupakan kadi daerah itu. Saya datang pada hari Jumaat tetapi pintu masjid itu dikunci. Solat Jumaat diadakan di masjid lain. Hanya beberapa ekor kucing setia menanti tetamu datang. Saya memang bawa makanan kucing jika bermusafir. Semoga kucing-kucing itu mendoakan yang baik-baik untuk kita semua. Amin.
Dr. Muhaimin Sulam adalah seorang penyelidik sejarah dan budayawan.