SPR lancar daftar pengundi atas talian

Oleh ADINDA

Beberapa tuntutan dari pelbagai pihak berhubung reformasi pilihan raya semmakin membuahkan hasil.

Pendaftaran pemilih automatik dan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, ia selepas pihaknya menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.

Terkini, Suruhanjaya pilihan raya (SPR) telah melancarkan portal terbaru MySPR Daftar bagi memudahkan rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi secara online.

Kepada rakyat Malaysia terutamanya anak-anak muda jangan lupa tanggungjawab anda untuk mendaftar sebagai pengundi.
https://mysprdaftar.spr.gov.my/

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

“Mahkamah dengan ini membenarkan perintah mandamus bahawa responden mengambil semua langkah yang diperlukan bagi membolehkan Seksyen 3 (Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019) berkuat kuasa secepat mungkin dan dalam apa jua keadaan menjelang 31 Disember 2021,” katanya.

Beliau turut membenarkan permohonan kelima-lima anak muda untuk mendapatkan perintah ‘certiorari’ bagi membatalkan keputusan responden (Perdana Menteri ketika itu, kerajaan dan SPR) yang menangguhkan pelaksanaan Seksyen 3 berkenaan selepas September 2022.