Realtime website trackingweb stats

Siti Nurhaliza pun risau nasib anak-anak Gaza, rupanya penyanyi hebat ini tubuhkan sekolah di Palestin

Oleh NURAIMAN

Bumi Gaza yang dihujani bom Israel tidak henti turut mengundang kerisauan di hati penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Mana tidaknya, penyanyi lagu ‘Cindai’ itu mempunyai sekolah untuk pendidikan anak-anak Palestin yang dibangunkan menerusi Yayasan Nurjiwa.

Siti, 44, bimbang dan sentiasa memantau situasi perang terkini yang mungkin mengancam nyawa 50 orang anak-anak angkatnya di sekolah Afwa Al Afiyah.

Ibu penyayang kepada dua anaknya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa itu menyedari murid-murid sekolah di Gaza itu sedang berhadapan situasi getir yang bila-bila masa saja akan meragut nyawa.

Untuk rekod, Yayasan Nurjiwa ialah pertubuhan yang tidak berasaskan keuntungan yang ditubuhkan pada 21 Ogos 2006 oleh Siti Nurhaliza dan suaminya, Khalid Mohamad Jiwa.

Penubuhan yayasan itu bagi tujuan membantu insan-insan yang memerlukan dan kurang bernasib baik termasuklah anak-anak Palestin.

Siti ada meluahkan kebimbangannya mengenai nasib anak-anak di sekolah Afwa Al Afiyah di Instagram.

“Situasi terkini di sana sangat runcing. Masjid dan bangunan musnah, hilang nyawa dan harta benda.

“Namun sebagai saudara Islam, kita usahakan apa yang termampu dan teruslah mendoakan keselamatan mereka.

“Saya mengenangkan bagaimana keadaan anak-anak angkat saya di sana.

“Semoga semuanya di dalam peliharaan Allah,” katanya.

Dalam masa sama, Siti juga mengajak orang ramai untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan agar dapat membantu penduduk di Gaza meneruskan kehidupan.

“Perkara ini tidak boleh dipandang sahaja tanpa berbuat apa-ара. Lebih pilu apabila menerima khabar daripada para pendidik di bumi Palestin terdapat sejumlah masjid hancur binasa akibat kebiadaban zionis.

“Justeru, bagi tujuan membantu dan berkongsi rasa kesulitan yang mendalam, Nurjiwa Foundation dengan kerjasama Kita Fund meneruskan kempen Tabung Bantuan Khas Palestin yang telah dilancarkan sejak tahun 2021,” kata Siti lagi.

Menerusi Yayasan Nurjiwa, Siti sebelum ini mengumumkan membina sebuah sekolah yang menawarkan pengajian al-Quran dan subjek akademik bagi membantu anak-anak di Palestin sejak Oktober 2021.

Malah, pada Mei lepas, Siti mengadakan konsert khas Satu Suara Vol 3 bagi tujuan meraih kutipan dana membantu kanak-kanak di sekolah Afwa Al Afiyah di Gaza itu.

Baca:

Penyanyi selamba tak bayar sewa rumah dan bil lebih RM6,000, pemilik rumah pula ‘disambut’ parang

‘Kita bukan budak-budak lagi,’ ini nasihat Aishah kepada Diva AA, hairan Azwan Ali dulu tak macam sekarang

Menggemparkan, pengarah jabatan kerajaan dan 4 lagi rupanya makan rasuah projek bekalan air RM44.4 juta