Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut
Berkaitan penahanan pegawai yang disyaki terlibat dalam sindiket membawa masuk warga asing ke negara ini tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, mengalu-alukan tindakan tersebut
Dan menegaskan bahawa pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan penuh ketelusan dan keadilan.
“JIM tidak akan berkompromi dan tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam pelanggaran integriti seperti salah guna kuasa dan rasuah,
baik di pintu masuk negara atau mana-mana pejabat Imigresen di seluruh negara. Kami tidak akan membenarkan tindakan tersebut mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta negara,” kata beliau dalam kenyataan lewat petang ini.
Menurut laporan media, SPRM telah berjaya membongkar sindiket yang membawa masuk warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal melalui pintu masuk negara tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.
Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata bahawa sindiket tersebut dipercayai turut melibatkan beberapa penguat kuasa dari sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara. Mereka dikatakan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa mengikuti prosedur yang ditetapkan, melalui modus operandi ‘counter setting’ atau laluan ‘kaunter khas’.
Susulan itu, SPRM telah menahan reman 11 individu termasuk empat penguat kuasa dari agensi berkenaan yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 hari ini.
Ruslin menambah, tindakan dan hukuman berat akan dikenakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang terlibat terbukti bersalah.
“JIM serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai jabatan ini sentiasa berada di tahap maksimum,” katanya.
JIM juga menggalakkan orang awam untuk melaporkan sebarang salah laku pegawai Imigresen, seperti penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, kesalahan tatatertib, dan rasuah melalui talian 03-8880 1246, e-mel [email protected], atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.