Sikap ekstrem dan ganas mula meresapi golongan muda

Oleh ADINDA

Atriza Umar

Sentimen Islamofobia yang keterlaluan

Tragedi yang berlaku baru-baru ini, sangat memberi kesan kepada semua pencinta kedamaian dan keharmonian di senatero dunia.

Ketika diketahui, bahawa kemalangan itu adalah suatu pembunuhan yang disengajakan, bukan sahaja umat Islam terkesan dengan agenda tidak perikemanusiaan yang dilakukan ‘penjenayah’, tetapi mereka yang bukan beragama Islam yang sukakan keamanan, turut bersolidariti dengan apa yang terjadi.

Sebuah kereta polis ditempatkan di lokasi sebuah keluarga Muslim yang sengaja dilanggar di London, Kanada baru-baru ini. – Foto CityNews

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau mengecam apa yang disebutnya sebagai serangan pengganas setelah empat ahli keluarga Muslim terbunuh disebabkan sebuah trak yang melanggarnya pada Ahad.

“Pembunuhan ini bukanlah satu kemalangan. Ini adalah serangan pengganas yang didorong oleh kebencian di hati,” kata Trudeau dalam ucapannya kepada Dewan Rakyat.

Penyerang ditangkap dan didakwa dengan empat tuduhan pembunuhan yang dirancang.

Dalam pada itu, Polis di Kanada mengesahkan empat ahli keluarga Muslim terbunuh dalam serangan trak yang dirancang.

Serangan itu berlaku di London, Ontario dan satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, sedang dirawat di hospital kerana cedera parah.

Pihak berkuasa telah mengemukakan empat tuduhan pembunuhan dan satu tuduhan cubaan membunuh terhadap seorang lelaki Kanada berusia 20 tahun.

Serangan terburuk selepas tragedi 2017

Pihak berkuasa negara itu menyatakan ini adalah serangan terburuk ke atas Muslim Kanada sejak pembunuhan enam orang Islam di sebuah Masjid Quebec City pada tahun 2017.

Yang mana, Alexandre Bissonnette seorang mahasiswa Perancis-Kanada berusia 29 tahun waktu itu, menjadi suspek tunggal dalam tembakan di sebuah masjid di Quebec City dan ia dikenakan tuduhan melakukan pembunuhan dirancang terhadap enam jemaah di masjid itu dan pihak berkuasa Kanada pada Isnin (30 Jan 2017), dan Perdana Menteri Justin Trudeau menyifatkan ia sebagai serangan pengganas.

Ia yang menembak mati enam anggota jemaah di sebuah masjid di Quebec City dalam serangan anti-Muslim terburuk di dunia Barat telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, sebagaimana dikenakan oleh mahkamah pada 8 Februari 2019.

Komuniti Muslim memperingati tragedi serangan tembakan di Masjid Quebec

Alexandre Bissonnette perlu menunggu selama 40 tahun, lebih lama berbanding kebiasaan sebelum dibenarkan memohon parol.

Dalam keputusan tersebut, Hakim Francois Huot menolak permohonan pendakwaan bagi hukuman penjara selama 150 tahun, yang paling lama dalam sejarah Kanada jika ia diluluskan, dengan menyatakan;

“Mengenakan pembunuhan dengan hukuman yang melebihi jangka hayatnya, adalah hukuman yang kejam dan luar biasa di bawah undang-undang Kanada.”

Namun dengan tegasnya, beliau turut mengambil kira kebencian pembunuh itu yang meluap-luap terhadap orang Muslim.

“Anda membunuh enam rakan senegara anda kerana mereka berbeza daripada anda. Dengan kebencian dan sikap perkauman, anda telah memusnahkan kehidupan mereka, kehidupan anda dan kehidupan ibu bapa anda, dan jenayah yang anda telah lakukan sewajarnya menerima kecaman yang tertinggi ,” kata Huot ketika menghakimi kes tersebut.

Bissonnette, seorang pelajar universiti pada waktu itu, melancarkan serangan, yang dipercayai telah dipengaruhi ideologi nasionalis dan ketuanan untuk melakukan pembunuhan yang tidak wajar dan berdarah ini yang cuba menggugat nilai-nilai asas masyarakat.

Tugu peringatan didirikan sebagai mengenang tragedi hitam serangan di Masjid Quebec

Apa yang pasti, serangan di Pusat Kebudayaan Islam Quebec dalam kawasan kejiranan Sainte-Foy di bandar raya tertua di Kanada, akan terpahat dalam sejarah Kanada dalam tulisan darah sebagai salah satu tragedi paling buruk di negara itu.

Terus Sebarkan kebaikan

Begitulah, masih terdapat manusia yang menjadikan agama orang lain sebagai masalah. Maka, perkara-perkara yang tidak diingini seperti ini, terjadi.

“Kami percaya mangsa-mangsa ini menjadi sasaran kerana mereka adalah Muslim,” sebagaimana kata Pengarah Detektif Paul White.

Dalam pada itu, beliau turut mengatakan pihak polis sedang meneliti kemungkinan tuduhan keganasan yang dipercayai sebagai jenayah kebencian agama.

Insiden prejudis atau kebencian berlandaskan sentimen Islamophobia kembali semakin membimbangkan di beberapa negara

Oleh yang demikian, sebagai umat Islam di mana pun berada, kita seharusnya berusaha mengenalkan Islam dengan cara kasih sayang dan menebarkan segala kebaikan agar sentimen agama ini dapat ditangani.

Boleh jadi, dengan usaha-usaha itu dapatlah isu-isu kesalah fahaman tentang Islam dapat dijelaskan dengan sebaiknya.

Insiden yang menyayat hati

Mangsa yang terbunuh adalah dua wanita, berusia 74 dan 44 tahun, seorang lelaki berusia 46 tahun dan seorang remaja berusia 15 tahun. Polis mengatakan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kecederaan yang sangat serius tetapi tidak mengancam nyawa, masih terlantar, menerima rawatan di hospital.

Polis mengenal pasti suspek sebagai Nathaniel Feltman, berusia 20 tahun berasal dari London. Dia ditangkap di sebuah pusat membeli-belah yang jaraknya, 6km dari tempat tragedi itu berlaku.

Pengarah siasatan jenayah negara itu mengatakan bahawa belum dikenal pasti adakah suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan kebencian atau pengganas tertentu.

SEBILANGAN komuniti di London yang menghadiri peringatan keluarga Muslim yang terbunuh akibat dilanggar trak pikap di luar Masjid Muslim London baru-baru ini.

“Setelah diselidiki, tidak terdapat kaitan atau hubungan tertentu antara suspek dengan mangsa,” jelasnya sambil memberitahu bahawa suspek memakai jaket yang kelihatan seperti baju besi ketika ditemui.

Sebelumnya, trak hitam itu dilihat naik ke tepi jalan di Hyde Park Road kira-kira pukul 8.40 malam waktu tempatan pada hari kejadian itu.

Manakala seorang saksi memberitahu media negara itu, CTV News bahawa dia harus menutup mata anak perempuannya yang masih kecil agar dia tidak melihat situasi yang menakutkan itu.

“Keadaan itu sangat huru-hara. Ramai yang berlari menyelamatkan diri, selain ada yang berusaha menghubungi ambulans ke tempat kejadian,” kata Paige Martin, seorang saksi lain.

Menurut bancian 2016, bandar London, kira-kira 200 kilometer di barat daya Toronto, penduduknya menjadi semakin bertambah. Bancian tersebut mendapati, bahawa satu daripada lima penduduknya dilahirkan di luar Kanada, manakala warga negara Arab adalah minoriti terbesar di rantau ini, diikuti oleh mereka yang berasal dari Asia Selatan.

Turut berkabung dengan kejadian itu

Perdana Menteri Ontario, Doug Ford adalah antara mereka yang berkabung berikutan situasi yang terjadi.

“Kebencian dan Islamofobia tidak memiliki tempat di Ontario,” ujarnya tegas melalui Tweetnya selepas kejadian itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau turut menzahirkan rasanya iaitu merasa ngeri dengan tragedi itu.

“Kepada orang yang disayangi mereka yang mengganas oleh tindakan kebencian semalam, kami ada di sini untuk anda,” simpati yang dinyatakan melalui Tweetnya.

Datuk Bandar Kota London Ed Holder pula berkata;

“Ini adalah tindakan pembunuhan besar-besaran, yang dilakukan terhadap umat Islam, terhadap warga London, kerana kebencian yang tidak dapat diungkapkan.”

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan kesedihan yang sangat mendalam bagi pihak semua warga London.

“Kami berkabung untuk keluarganya, yang mana tiga generasi kini telah dibunuh,” tambahnya lagi, bagi merujuk kepada seorang kanak-kanak yang cedera parah, yang masih hidup.

Berikutan itu juga, Datuk Bandar negara itu telah mengarahkan bendera-bendera itu diturunkan setengah tiang di City of London sebagai tanda berkabung selama tiga hari.

Segerakan Tindakan Terhadap Pengganas

Majlis Nasional Muslim Kanada mengatakan dalam satu kenyataannya bahawa pembunuh tersebut harus menghadapi tuduhan pengganas.

Majlis itu menyatakan bahawa, sejak penembakan masjid Quebec sejak 4 tahun lalu, tepatnya pada Januari 2017, jenayah kebencian agama semakin meningkat di Kanada.

“Kami menyerukan undang-undang yang lebih keras dan tegas untuk hukuman Islamofobia. Lihatlah, ini adalah orang yang tidak bersalah yang dibunuh hanya kerana mereka beragama Islam,” kata seorang peguam Nawaz Tahir, dan seorang wakil masyarakat Islam, semasa sidang media.

Menurutnya lagi, Muslim Kanada akan berdiri teguh menentang Islamofobia.

“Kami akan berdiri teguh menentang keganasan dengan iman, cinta dan keadilan.”

 

Ribuan warga Kanada daripada pelbagai etnik dan agama berarak memperingati tragedi pembunuhan keluarga Salman yang rata-rata mengenang kebaikan keluarganya sambil mengangkat mesej kedamaian

Bersama Tangani Islamofobia

Menurut Majlis Eropah menterjemahkan Islamofobia sebagai ‘ketakutan atau pandangan prejudis terhadap Islam, umat Islam dan hal-hal berkaitan dengan Islam.’

Majlis Eropah turut menghuraikan bahawa Islamofobia sama ada dimanifestasi dalam bentuk diskriminasi harian atau dalam bentuk yang lebih ganas sebagai pelanggaran hak asasi manusia dan ancaman terhadap perpaduan sosial.

Tidak terkecuali di negara ini, sebagaimana kata pengamal undang-undang, Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ serta Setiausaha Kehormat MACSA Puan Fatihah Jamhari dalam Perspektif yang disiarkan di Sinar Harian pada 16 Mac 2020 lalu,

“Lebih unik di Malaysia, takrifan kaum Melayu diikat rapi sebagai seorang yang beragama Islam. Namun, itu tidak menghalang ramai rakyat Malaysia walaupun berbangsa Melayu dan beragama Islam untuk turut terpalit dengan sentimen prejudis dan kebencian terhadap Islam.”

Daripada kebanyakan kes yang dilaporkan, disiasat dan akhirnya dibawakan ke mahkamah, jelas menunjukkan bahawa sama sekali tidak mustahil untuk seorang yang beragama Islam mempunyai prejudis yang tinggi terhadap agama Islam.

Di Malaysia, walaupun kerangka perundangan tidak menangani isu Islamofobia secara khusus, namun setelah mengiktiraf bahawa sebarang sentimen prejudis dan kebencian dalam masyarakat mampu merosakkan inisiatif negara ke arah perpaduan nasional, maka telahpun diwujudkan peruntukan undang-undang untuk membanteras sentimen Islamophobia daripada terus tular.

Justeru, untuk menjaga keharmonian dan perpaduan antara agama dan kaum, setiap kita perlulah mendepani sesuatu isu atau hal yang berlaku dengan tidak menisbahkan kepada agama atau kaum tertentu.

Rakyat juga perlu didedahkan dengan advokasi secara menyeluruh agar segala perkara yang tidak diingin dapat ditangani bersama, melalui perbincangan, permuafakatan, di samping mencari titik persamaan serta saling menghormati juga menghargai antara satu sama lain.