Sidang Parlimen bermula hari ini, tumpuan kepada agenda gencatan politik

Oleh ADINDA

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang bermula hari ini bakal menyaksikan beberapa isu penting akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Persidangan pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu dijangka menumpukan isu pemulihan negara susulan penularan pandemik COVID-19 serta pakej-pakej bantuan yang disediakan untuk kelangsungan hidup rakyat.

Namun, lebih menarik perhatian tentunya memorandum persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan hari ini.

MoU itu adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama secara “dwipartisan”.

Kenyataan bersama kerajaan dan Pakatan Harapan selepas perbincangan untuk memuktamadkan perjanjian persefahaman hari ini di Parlimen.

Mesyuarat 17 hari selepas suhu politik kembali reda dengan penubuhan kerajaan baharu di bawah pimpinan Ismail Sabri itu juga bakal menyaksikan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan.

Sepanjang sidang kali ini, dijangka rakyat akan lebih memerhati segala aksi dan tindak tanduk ahli dewan serta menjadi saksi hasil MoU yang bakal dimuktamadkan itu sama ada benar-benar dimeterai atau sekadar permainan politik semata-mata.