Realtime website trackingweb stats

Sertai BRICS: Tindakan Strategik Kukuhkan Malaysia

Oleh ABDULLAH HAMID

Malaysia telah mengambil langkah berani dengan menyertai BRICS, sebuah kumpulan negara yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.

Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS) yang menyokong tindakan Malaysia ini berkata

langkah ini menunjukkan keberanian Malaysia dalam mencabar hegemoni kuasa besar, serta keupayaan negara untuk membela kepentingan negara membangun, khususnya dalam isu berkaitan Palestin.

“Penyertaan dalam BRICS adalah satu langkah strategik bagi Malaysia untuk mencari alternatif kepada institusi Barat seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

“IAIS juga percaya bahawa Malaysia berpotensi memainkan peranan penting dalam usaha mewujudkan penyelesaian kepada pelbagai konflik antarabangsa yang sedang berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.

Sertai BRICS: Tindakan Strategik Kukuhkan Malaysia

Menurut pusat kajian itu, penyertaan Malaysia ini juga sebagai pragmatik dan berwawasan yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam arena geopolitik global.

Apatah lagi ianya dibuat dalam konteks sejarah dunia pasca-Perang Dingin, di mana dunia telah beralih dari keadaan bipolar kepada unipolar, dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa dominan.

“Namun, situasi ini telah gagal mengakhiri konflik global dan sebaliknya meningkatkan ketegangan di pelbagai wilayah seperti Yugoslavia, Ukraine, dan Timur Tengah,” kata kenyataan itu.

BRICS, yang ditubuhkan pada tahun 2009, terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.

Kumpulan ini muncul sebagai reaksi terhadap ketidakseimbangan dalam sistem kewangan dan politik global yang didominasi oleh negara-negara Barat.

Penyertaan Malaysia dalam BRICS dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan suara negara dalam menyuarakan isu-isu penting di peringkat global, terutama dalam bidang kewangan dan perdagangan.

“IAIS mengajak semua pihak untuk menyokong langkah berani ini demi kepentingan masa depan Malaysia dan negara-negara membangun di seluruh dunia,” katanya.