Kadang yang dewasa seronok beraya mengalahkan budak-budak sehingga lupa badan terdedah kepada serangan penyakit.
Ini 4 perkara yang perlu diberi perhatian untuk menikmati Aidilfitri dengan gembira dan paling penting tidak sakit kemudian hari:
1. Makan berpada-pada:
Makan berpada-pada sepanjang beraya ini cukup merasa pelbagai juadah bukannya melantak sampai ‘meletup’ perut dibuatnya.
Ambil dalam kuantiti berpatutan juadah raya yang terhidang kerana tentu banyak lagi rumah anda akan bertandang sepanjang Hari Raya ini.
Bagi yang sedang berdiet pun sukar menolak godaan rendang, kuah kacang, ketupat dan pelbagai jenis kuih raya.
Oleh itu, cuba untuk kawal pengambilan makanan yang mempunyai kandungan gula berlebihan, berlemak dan masin.
Badan kita mungkin mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mendapat isyarat bahawa perut sudah penuh dan kekenyangan.
Jadi, anda disarankan untuk makan dengan perlahan-lahan dan dalam bahagian yang kecil. Cara ini juga dapat mengelakkan pembaziran dan mengurangkan kecenderungan untuk makan berlebihan.
2. Banyakkan minum air:
Banyakkan minum air putih atau air kosong di samping makan rendang, ketupat dan juadah raya yang lain. Dalam masa kawal minum manis.
Setiap orang dewasa yang sihat memerlukan 35 mililiter air setiap hari bagi setiap kilogram berat badan.
Secara amnya, individu dengan berat 50 kilogram memerlukan 1.7 liter air manakala individu dengan berat 60 kilogram perlu mengambil 2.1 liter air dan berat badan 70 kilogram memerlukan 2.4 liter air.
3. Kekal aktif:
Sepanjang bulan Ramadan, mungkin ramai yang tidak berpeluang untuk bersenam kerana ingin mengisi masa dengan beribadat.
Oleh itu, ambil peluang dalam bulan Syawal ini untuk tingkatkan aktiviti bersenam.
Walaupun pada kebanyakan masa kita mungkin tergoda dengan jemputan rumah terbuka dan pelbagai juadah raya yang enak, cuba sekurang-kurangnya bersenam dua kali seminggu.
Paling tidak sesudah Subuh dan sebelum keluar sambung beraya, lakukanlah ‘brisk walk’ di sekitar kawasan perumahan anda.
4. Pantau keadaan kesihatan:
Bagi individu yang mempunyai penyakit seperti diabetes, anda bukan sahaja perlu menjaga pemakanan. Tetapi anda juga perlu memeriksa paras glukosa secara berkala.
Perhatikan juga simptom hiperglisemia (paras glukosa terlalu tinggi) seperti berikut:
* Kerap buang air kecil
* Dahaga yang melampau
* Penglihatan kabur
* Keletihan
* Sakit kepala
Baca:
Ramai yang cuba baju di bazar tapi beli di online, peniaga kecil-kecilan ini kongsi luahan hati
Kejar 10 malam terakhir Ramadan! Pesanan ustaz ini buat ramai terkedu