Selepas serangan jantung, sakit tulang belakang pula – Ini keadaan terbaharu Menteri Ekonomi

Oleh ARIF ABDULLAH

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Oktober tahun lalu mengejutkan rakyat Malaysia apabila dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat serangan jantung.

Tahun ini, Ahli Parlimen Pandan berkenaan mengalami masalah tulang belakang sehingga perlu menjalani pembedahan pada 19 Februari.

Menerusi perkongsian di laman X (Twitter), Rafizi memberitahu beliau telah dijangkiti Covid-19 buat kali pertama pada minggu ketiga bulan ini.

Selepas serangan jantung, sakit tulang belakang pula - Ini keadaan terbaharu Menteri Ekonomi

Akibatnya, kata wakil rakyat PKR itu, beliau terlantar beberapa hari, sekali gus menyebabkan tekanan ke atas tulang belakang sehingga berlaku slipped disc.

“Keadaannya memuncak selepas beberapa minggu sehinggakan saya tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Sakitnya memang ke langit,” kata pemimpin itu.

Terdahulu, Perdana Menteri memuat naik gambar kunjungan beliau menziarahi Rafizi di sebuah hospital.

Mengulas lanjut, Rafizi yang bakal berusia 47 tahun pada 14 September nanti memberitahu beliau baru sahaja selesai menjalani pembedahan tulang belakang.

Jelasnya, beliau akan menjalani rawatan di hospital bagi tempoh dua minggu lagi sebelum dijangka kembali bertugas Mac nanti.

Menurutnya, sebelum itu beliau telah disahkan mempunyai masalah stenosis, iaitu kewujudan tekanan dari slipped disc dan ligamen yang memegang tulang belakang, sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjangan.

“Alhamdulillah, pembedahan untuk memotong sebahagian ligamen dan slipped disc (untuk membuka ruang kepada saraf) berjalan baik.

“Saya telah boleh berjalan semula,” katanya sambil yang mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pakar merawatnya.

Rafizi bagaimanapun berkata, selalunya beliau tidak berkongsi mengenai perkara yang dianggapnya peribadi, seperti masalah kesihatan, tetapi menyedari ada kalangan rakannya yang bimbang.

“Lebih baik saya berkongsi sedikit sebanyak supaya dapat disampaikan kepada mereka yang ambil tahu,” ujarnya.

Baca:

Rider mengeluh pendapatan makin teruk, ini nasihat orang ramai yang mungkin relevan untuk yang muda

Roti telur menu sarapan keluarga, sekejap je confirm habis

Amalan orang dulu – dulu, ketahui kebaikkan minum air rebusan daun pandan