Selepas lari dari penjara, ganjaran lebih RM93,000 kepada pemberi maklumat tangkap pembunuh.
Rakaman dikeluarkan polis Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bagaimana seorang pembunuh berbahaya begitu mudah melalui dua dinding yang dipisahkan oleh lorong sepanjang 1.5 meter menggunakan teknik ‘berjalan ketam’ untuk melarikan diri dari penjara di Pennsylvania.
Danelo Cavalcante, 34, diburu polis sejak 31 Ogos lalu selepas dia melarikan diri dari Penjara Chester County.
Pemangku Warden Penjara Daerah Chester, Howard Holland berkata, laluan sama pernah digunakan banduan lain untuk melarikan diri awal tahun ini dan dawai tajam sudah dipasang selepas kes itu tetapi jelas tidak berkesan.
“Walaupun kami percaya kaedah keselamatan kami mencukupi dengan memberi tumpuan kepada halangan fizikal, ia jelas terbukti sebaliknya. Kami kini akan bergerak pantas untuk meningkatkan langkah keselamatan kami,” kata Holland.
Cavalcante dijatuhi hukuman penjara seumur hidup bulan lalu selepas didapati bersalah menikam dengan kejam bekas teman wanitanya, Deborah Brandao sehingga mati pada April 2021 di hadapan dua anaknya yang masih kecil.
Kisah bagaimana Cavalcante melarikan diri dari penjara minggu lalu menjadi tajuk utama di negara asalnya Brazil kerana dia juga dikehendaki dalam satu lagi pembunuhan pada 2017.
Ketika Cavalcante melarikan diri, sejurus sebelum pukul 9:00 pagi (waktu tempatan), terdapat seorang pegawai yang bertugas di menara pemerhatian tetapi masih gagal mengesan tindakan penjenayah itu.
Pegawai itu diarahkan bercuti dan sedang disiasat oleh peguam negara.
Pihak berkuasa melancarkan operasi memburu banduan tersebut menggunakan helikopter dan kereta peronda sambil memasang rakaman pesanan suara ibu Cavalcante di Brazil yang merayu anaknya itu untuk menyerah diri.
Ganjaran AS$20,000 (RM93,516) turut ditawarkan kepada pemberi maklumat yang membawa kepada penangkapan penjenayah kejam itu.