Selepas kematian dua mahasiswa UITM, PdP atas talian perlu direform

Oleh ADINDA

KEMATIAN DUA MAHASISWA UiTM MENUNTUT REFORMASI PdP DALAM TALIAN

Hari ini kita dikejutkan dengan berita yang amat mendukacitakan di mana dua mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah meninggal dunia dikatakan berpunca dari tekanan mental dan emosi kesan dari proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian yang berpanjangan.

Dua mahasiswa berkenaan adalah Allahyarham Muhammad Adham Hazim bin Mohd Rizani dari UiTM Cawangan Pahang dan Allahyarhamah Nurul Natasya Ezreen binti Azemi dari UiTM Cawangan Kedah.

Kedua-dua mahasiswa malang ini dikatakan telah mengalami tekanan akibat tidak mampu menguasai kaedah PdP dalam talian dan terpaksa pula berdepan dengan cabaran memenuhi keperluan pengajian termasuklah penghantaran pelbagai tugasan akademik, peperiksaan secara dalam talian serta pembentangan projek yang berterusan.

Walaupun agak sukar untuk dikaitkan kematian kedua-dua mahasiswa ini berpunca dari tekanan PdP dalam talian namun rata-rata mahasiswa UiTM telah berkongsi pandangan membangkitkan perkara ini dengan menciap di Twitter sehinggakan tanda pagar #uitm menjadi sohor kini semalam.

Bukanlah menjadi rahsia di kalangan pensyarah di institusi pengajian tinggi bahawa acap kali didapati berlaku keciciran mahasiswa sewaktu PdP dalam talian dilaksanakan. Ini sudah tentu berpunca dari pelbagai faktor termasuk berkaitan isu peranti, talian internet yang tidak mudah dicapai, kelajuan internet yang tidak memadai, kos internet yang masih tinggi dan masalah keluarga serta beban kewangan yang perlu difikirkan juga oleh mereka.

Kenyataan takziah daripada UiTM kepada keluarga dan waris dua pelajar mereka yang meninggal dunia

Tekanan mental dan emosi di kalangan mahasiswa adalah nyata dan benar. Ia bukan sesuatu yang sengaja diada-adakan oleh mereka.

Bayangkan seorang mahasiswa dikehendaki menyiapkan pelbagai tugasan akademik yang diminta oleh setiap pensyarah bagi setiap kursus atau modul yang diambil mereka. Bayangkan seorang mahasiswa mengambil di antara 5 hingga 6 kursus setiap semester dan setiap kursus ini menuntut pula mahasiswa menyiapkan tugasan akademik hampir setiap minggu.

Ini tidak lagi mengambilkira aktiviti pembentangan tugasan di depan pensyarah secara maya, pembikinan video untuk tugasan serta aktiviti projek penyelidikan yang memerlukan tumpuan yang penuh. Tidak lagi diambilkira masa yang perlu diluangkan oleh mahasiswa bagi menghadiri kuliah secara dalam talian hampir sepanjang hari.

Mana mungkin rata-rata mahasiswa di IPTA yang berada di dalam kategori B40 mampu untuk mendepani cabaran yang begitu getir dewasa ini. Mana mungkin pada ketika perut menggelodak kelaparan, ibu ayah dan adik beradik juga berada di dalam kesempitan, mahasiswa mampu untuk terus fokus di dalam pengajian?

Isu PdP ini harus dilihat secara yang lebih holistik dan bukan lagi sekadar melihat dari aspek teknikal semata-mata. Reformasi PdP mesti merangkumi aspek sosio-ekonomi, infrastruktur, kemanusiaan dan juga ihsan.

Pelajar Universiti Malaya, Muhammad Anas Mohd Nor, 24 (tengah) dan Ahmad Fakhru Syafiq Abdul Kadir mengulang kaji ketika tinjauan pelajar yang masih di kampus tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Universiti Malaya. – Foto Berita Harian.

Elemen kemanusiaan dan juga ihsan ini semakin lama dipinggirkan. Sudah tiba masanya para pendidik membuka mata dan memberi ruang yang lebih luas berhubung perkara ini agar matlamat negara menghasilkan graduan yang holistik dan berdayasaing dapat dijelmakan menerusi rekabentuk acuan yang betul.

Kita tidak mahu mahasiswa semakin terpinggir tanpa kita sedari hanya kerana kita berbangga telah berjaya melaksanakan PdP secara dalam talian sebagaimana negara-negara maju yang lain sedangkan kejayaan melaksanakan PdP itu sendiri masih diselubungi dengan pelbagai kemusykilan.

 

Professor Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin merupakan profesor daripada Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia yang banyak menulis berkaitan sistem pendidikan negara khususnya dalam bidang pengajian tinggi.