Realtime website trackingweb stats

Selepas JDT cipta sejarah raih ‘double quadruple’, rakyat Johor boleh goyang kaki 17 Disember ini

Oleh FATIN AQILAH

 

Selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah tersendiri apabila muncul pasukan pertama meraih ‘double quadruple’ selepas menjulang Piala Malaysia, rakyat negeri itu boleh goyang kaki 17 Disember ini.

Pengumuman cuti khas peristiwa itu juga bersempena kejayaan skuad Harimau Selatan menjuarai Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani berkata, pencapaian tersebut merupakan sejarah gemilang buat bola sepak negeri ini.

“Justeru itu, pada pukul 8.30 malam, 16 Disember ini akan diadakan sambutan bagi meraikan peristiwa bersejarah tersebut di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, selepas perlawanan menentang Penang FC.

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengisytiharkan 17 Disember ini, iaitu hari Ahad sebagai Hari Cuti Khas Peristiwa bagi seluruh rakyat negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Azmi turut memberitahu, pemberian cuti khas itu juga sebagai penghargaan kepada rakyat Johor yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada JDT sejak selama ini.

“Keputusan pengisytiharan Cuti Khas Peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369),” jelasnya lanjut.

Pada 8 Disember, JDT menewaskan Terengganu FC 3-1 dalam aksi final Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekaligus menyapu bersih empat piala yang dipertandingkan dalam kancah bola sepak Malaysia.

Sebelum ini, skuad Harimau Selatan berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super biarpun masih berbaki dua perlawanan.

Baca:

Nak jumpa gajah di Malaysia punya la susah, kat Thailand boleh pula diorang buat gathering ramai-ramai

Anak-anak memang suka, ini resepi lempeng lembut dan gebu

Bukan susah mana nak bagi jubin kembali berkilat, ramai yang dah berjaya buat guna kaedah ini