Selepas bercerai, Diana Danielle rakam lagu tapi tiada kaitan dengan Farid Kamil.
Pelakon Diana Danielle menafikan lagu baharu yang dilancarkan beberapa hari lalu ditujukan khas buat bekas suaminya, Farid Kamil.
Malah, pelancaran lagu Bersama Dengan Rindu yang dilakukan baru-baru ini juga bukan mengambil kesempatan atas kes perceraiannya dengan aktor Anwar: The Untold Story itu.
“Tidak. Bukan cara saya untuk gunakan hal peribadi dengan melakukan perkara begini (tulis lagu).
“Saya bukan mahu mengambil kesempatan, tetapi perlu meneruskan kerjaya,” katanya selepas selesai prosiding lafaz cerai semalam.
Diana atau nama lengkapnya Diana Danielle Danny Beeson, 32 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari itu menjelaskan situasi sebenar bagi mengelakkan salah faham.
“Sebenarnya sudah lama lagu ini dirakam iaitu pada awal tahun lalu manakala penggambaran video muzik dilakukan sekitar Januari jika tidak silap.
“Jadi, semua itu tiada kena mengena dengan keadaan masa kini.
“Cuma saya terpaksa keluarkan lagu ini dengan cepat kerana sudah lama disimpan. Lagipun, ada lagu lain yang perlu dikeluarkan mengikut giliran,” ujarnya lagi.
Semalam, rumah tangga bintang Imaginur itu bersama Farid Kamil akhirnya menemui titik noktah apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Namun, Farid yang tidak hadir ke mahkamah kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan melafazkan cerai secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet dan didengar Hakim Syarie Shukran Yusof.
Pergolakan rumah tangga pasangan itu mula tercetus selepas aktres itu memfailkan cerai pada 10 Mac lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Diana mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai dengan Farid.
Pasangan itu berkahwin pada tahun 2012 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 10 serta Nur Aurora yang kini berusia lapan tahun.