Seorang lelaki diperintahkan untuk membayar ganti rugi melebihi 700 juta won (RM2.26 juta) kepada syarikat penerbangan
Asiana Airlines selepas membuka pintu pesawat pada pertengahan tahun lalu, lapor portal berita VnExpress kelmarin.
Mahkamah Daerah Daegu, Korea Selatan, memutuskan bahawa penumpang berusia 32 tahun yang dikenali hanya dengan nama keluarga Lee perlu membayar jumlah ganti rugi tersebut.
Keputusan ini diambil kerana tindakan Lee telah menyebabkan kemusnahan dan kerosakan harta benda, menurut akhbar Korea, Joongang Daily.
Mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan Lee menyebabkan para penumpang terpaksa turun dari pesawat menggunakan gelongsor kecemasan.
Pada Mei tahun lalu, semasa penerbangan dari Jeju ke Daegu dengan 194 penumpang di dalam pesawat, Lee membuka pintu kecemasan ketika kapal terbang bersiap sedia untuk mendarat pada ketinggian antara 213 hingga 243 meter.
Insiden tersebut mengakibatkan sembilan penumpang dimasukkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas.
Lee kemudian ditangkap oleh polis kerana melanggar undang-undang keselamatan penerbangan dan menyebabkan kerosakan pada pesawat.
Kementerian Tanah, Infrastruktur, dan Pengangkutan Korea Selatan menganggarkan kos pembaikan untuk pintu kecemasan yang rosak dan gelongsor adalah sekitar 640 juta won (RM2.07 juta), lapor Korea Bizwire.
BACA: Rupanya ada cara nak masak nasi putih bagi rasa sedap dan berlemak