“Hei perempuan, kau dengar apa aku cakap, depan makam Rasullullah ini aku cakap depan muka kau, kalau Rayan benci aku, aku akan pastikan dekat tanah haram ini kau mampus.”
Beginilah dialog yang diucapkan oleh pelakon tempatan, Janna Nick semasa berperanan sebagai Misha dalam siri drama Surat Dari Tuhan yang bermula ditayangkan dalam slot Samarinda semalam.
Walau bagaimanapun, dialog tersebut telah mencetuskan kritikan dan kecaman yang keras daripada pelbagai pihak.
Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun, telah mengeluarkan kritikan terhadap adegan dalam drama Melayu tersebut semalam melalui siaran langsung di TikToknya.
Beliau berpendapat bahawa dialog yang digunakan dalam adegan-adegan tersebut tidak menghormati Tanah Suci, Mekah.
Beliau juga menyatakan rasa kecewanya terhadap dialog-dialog yang terdapat dalam klip-klip promosi drama tersebut yang telah tersebar melalui media sosial.
“Lakonan tersebut dibuat di sebuah hotel di Tanah Suci yang nampak latar belakang Masjid Nabawi. Saya terkejut macam mana boleh terfikir nak buat skrip macam ini, menggunakan makam Nabi.
“Walaupun dia tak bersumpah, tidak wajar perkataan itu dijadikan sebagai dialog. Sedangkan kita diajar jaga lidah, jaga akhlak dan perbuatan ketika di Tanah Suci,” katanya.
Dalam konteks ini, dia juga mempertanyakan etika seorang pelakon Islam, terutamanya apabila dia memilih untuk menyampaikan dialog seperti itu, yang jelas merendahkan martabat agama Islam yang suci.
“Mana etika ketika melakonkan babak di Tanah Suci dan tak berasa bersalah ke masa nak merakamkan babak ni?.
“Tempat yang paling suci dan indah seluruh umat manusia yang dambakan pergi, kenapa nak masukkan dialog seperti ini.
“Sedangkan nak berkata-kata perkara baik pun kita tak mampu nak cakap depan Makam Rasulullah,” tegurnya.
Ustazah Asma’ menekankan bahawa dialog ini hanya sesuai jika tidak berlaku di Tanah Suci.
Bagaimanapun, dia juga menasihatkan pihak produksi untuk menyelidik drama tersebut sebelum ditayangkan untuk memastikan sensitiviti umat Islam dijaga dengan baik.
Baca:
Ada budak sampai dekat 3 jam menjerit tahan sakit, ini 4 contoh kes ‘ancaman’ di tandas
Panadol itu hanya jenama paracetamol, sama macam mi segera yang selalu disebut ‘megi’