Sanggup biar belakang tapak tangan digigit labah-labah berbisa, ini alasan budak 8 tahun yang mengejutkan.
Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan di hospital selepas sanggup membiarkan dirinya digigit spesies labah-labah berbisa untuk menjadi adiwira kegemarannya, Spiderman.
Lapor Oddity Central, budak lelaki itu digigit spesies labah-labah black widow.
Insiden itu berlaku di perbandaran Vichuloma berhampiran bandar Oruro di tengah Bolivia.
Ketika kejadian, kanak-kanak itu dilaporkan sedang bermain berhampiran sungai dekat rumahnya apabila menemukan seekor labah-labah black widow tersembunyi di bawah sebuah batu besar.
Tanpa menyedari kesan gigitan labah-labah berbisa itu, dia meletakkan serangga araknid di belakang tapak tangannya dengan harapan untuk digigit.
Setelah pulang ke rumah, kanak-kanak itu mula mengalami gejala seperti sakit badan dan kekejangan otot yang teruk.
“Budak itu pada mulanya tidak memberitahu sesiapa mengenai gigitan labah-labah itu namun selepas tiga jam kesakitan, barulah dia memaklumkan kepada ibu bapanya.
“Kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke sebuah klinik kesihatan di bandar berdekatan sebelum dipindahkan ke Hospital Besar Juan de Dios di Oruro.
“Selepas mengenal pasti spesies labah-labah itu, pasukan doktor memberikan ubat penawar yang betul kepada budak berkenaan.
“Keadaan kanak-kanak itu menjadi stabil kira-kira 30 minit kemudian,” jelas laporan itu.
Ibu kanak-kanak itu mengakui anak lelaki merupakan peminat tegar filem Spiderman namun dia tidak menyangka anaknya sanggup melakukan tindakan yang membahayakan dirinya.