Realtime website trackingweb stats

Sambutan Hari Keputeraan Agong ditangguh

Oleh ADINDA

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya tiada ucapan sempena Hari Keputeraan baginda pada 30 Julai ini diterbitkan “di media cetak dan papan iklan.”

Setiausaha Kerajaan Pahang Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan hal tersebut menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menurut Sallehuddin, Al-Sultan Abdullah juga bertitah supaya sambutan Hari Keputeraan Tuanku ditangguhkan ke suatu tarikh lain.

“Hanya majlis kesyukuran dan doa selamat sahaja yang boleh dianjurkan secara virtual atau maya, selaras dengan suasana pandemik Covid-19 di Malaysia dan negeri Pahang,” katanya.

Mengenai ucapan sempena Hari Keputeraan, baginda bertitah “persembahan ucapan tersebut boleh dibuat secara atas talian di laman web jabatan, syarikat atau mana-mana medium yang tidak melibatkan sebarang kos.”

“Baginda turut bertitah agar peruntukan bagi penerbitan persembahan ucapan tersebut sebaiknya disalurkan kepada tabung-tabung yang disediakan oleh pihak kerajaan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik wabak Covid-19,” kata Sallehuddin, lapor Pahang Media.