Sama saiz kan senang, ini sebab kenapa tayar spare kecil semacam. Setiap kereta pasti ada satu tayar ganti yang tersimpan rapi di dalam bonet. Tapi pernah tak anda perasan, saiz tayar ganti ini jauh lebih kecil daripada tayar biasa? Ramai yang panggil tayar ini sebagai “tayar donat” – dan bukan sebab ia boleh dimakan!
Tapi kenapa pula tayar ganti ini kecil semacam? Bukan ke lebih senang kalau sama saiz macam tayar asal – pasang je dan teruskan perjalanan tanpa perlu ke bengkel?
Sebenarnya, ada tiga sebab utama kenapa tayar ganti direka lebih kecil. Jom kita bongkar!
Jimat Ruang dalam Bonet
Tayar donat direka dengan diameter dan lebar yang lebih kecil supaya ia tak makan ruang dalam bonet. Bayangkan kalau keempat-empat tayar besar, tayar ganti pun sebesar itu juga – ruang simpan barang jadi sempit dan tak praktikal. Dengan tayar donat, ruang disimpan lebih efisien, dan masih cukup untuk letak barang-barang lain.
Kurangkan Berat Kereta
Tayar donat diperbuat daripada bahan yang lebih ringan berbanding tayar penuh. Ini sangat membantu dalam mengurangkan berat keseluruhan kereta. Kereta yang lebih ringan bermaksud penggunaan petrol yang lebih jimat. Jadi secara tak langsung, tayar kecil ini sebenarnya membantu anda berjimat di pam minyak juga!
Kos Pengeluaran Lebih Rendah
Dalam industri automotif, setiap komponen yang ditambah akan menyumbang kepada kos akhir sebuah kenderaan. Tayar penuh semestinya lebih mahal – jadi tayar donat yang lebih kecil dan ringan ini digunakan bagi mengurangkan kos pembuatan, sekali gus membantu mengekalkan harga jualan kereta pada tahap mampu milik.
Jadi Apa Fungsi Sebenar Tayar Donat Ini?
Tayar ganti bukan direka untuk kegunaan jangka panjang. Fungsinya adalah sementara, sekadar untuk bantu anda gerakkan kereta ke bengkel dengan selamat selepas tayar asal pancit.
Jangan sesekali guna tayar donat untuk perjalanan jauh atau dalam tempoh lama. Ia tidak sesuai untuk kelajuan tinggi atau pemanduan jarak jauh. Kalau tayar pancit, pasang tayar donat dan segeralah ke bengkel untuk gantian yang betul.
Kesimpulannya, tayar donat mungkin kecil, tapi fungsinya besar dalam kecemasan. Jadi pastikan anda tahu cara gunanya – dan jangan tunggu sampai tayar ganti pun pancit baru nak bertindak!
BACA JUGA :
Berbaloikah beli tayar terpakai? Ini 5 tips penting anda perlu tahu
Cara nak tahu tayar baru atau lama elak kena lipat dengan kedai
Ini yang jadi pada kereta bila guna tayar ‘spare’ dalam tempoh yang lama