Realtime website trackingweb stats

RUU Gangguan Seksual : 2 kali jadi Menteri namun Rina masih beralasan

Oleh ADINDA

Ketika ramai pihak mendesak Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual supaya disegerakan tetapi dalam satu kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata mangsa gangguan seksual digesa supaya segera melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa tanpa perlu menunggu peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah gangguan seksual dikuatkuasakan.

Beliau berkata RUU tersebut bukan membabitkan pindaan, sebaliknya adalah RUU baharu yang mengambil masa untuk digubal dan melibatkan banyak kementerian serta drafnya kini sedang di peringkat penelitian Pejabat Peguam Negara.

Dalam laporan Malaysia Dateline, Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Young Syefura Othman menegaskan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun semalam sebagai tiada langsung sifat empati kepada setiap mangsa gangguan seksual di negara ini.

“Apa yang lebih mengecewakan ialah kenyataan Menteri menunjukkan bahawa beliau tidak peka dan tidak faham bahawa disebabkan tiada undang-undang yang boleh dirujuk bagi kes gangguan seksual, ia menyukarkan untuk sebarang siasatan dan tindakan terhadap laporan yang dilakukan.

“Gesaan agar RUU Gangguan Seksual ini dibentangkan di Parlimen sudah kedengaran sejak dari tahun lalu lagi.

Young Syefura

“Namun, mengapa Menteri masih memberikan alasan RUU ini perlu mengambil masa untuk digubal sedangkan Menteri sendiri telah menjawat jawatan Menteri di KPWKM sebanyak dua kali?

“Adakah Menteri benar-benar mengambil serius mengenai hal ini?” bidas Young Syefura dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Young Syefura yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari berkata, saranan Rina yang tidak munasabah itu juga menunjukkan tiadanya sama sekali kesungguhan politik untuk meneruskan usaha yang telah dijalankan oleh Menteri dan Timbalan Menteri KPWKM sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu RUU Gangguan Seksual dan pembelaan terhadap mangsa terbabit.

Dalam menjawab desakan-desakan pelbagai pihak untuk disegerakan RUU Ganguan Seksual ini, Rina Harun yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa itu sekadar menjawab mangsa gangguan seksual boleh terus membuat aduan ke balai polis atau menyalurkan maklumat ke Talian Kasih 15999 di bawah KPWKM. Pada masa ini yang penting adalah kesedaran, komitmen dan kepekaan masyarakat terhadap isu ini sebelum RUU tersebut diluluskan, menurutnya lagi yang lebih mengundang kritikan ramai termasuk NGO dan kumpulan mahasiswa.