Realtime website trackingweb stats

Runsing kos kahwin mahal? Kerajaan bakal perkenal pakej perkahwinan Rahmah

Oleh ADINDA

Runsing kos kahwin mahal? Kerajaan bakal perkenal pakej perkahwinan Rahmah.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup (KPDN) bercadang memperluaskan inisiatif Payung Rahmah, membabitkan pakaian sekolah dan pakej perkahwinan serta pertunangan untuk membantu rakyat mendepani isu kos sara hidup.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata setakat ini, sambutan terhadap inisiatif itu amat menggalakkan, dengan terbaharu daripada syarikat besar seperti Jakel dan Mydin, yang menawarkan pakaian dan tekstil pada harga mampu milik.

“Apa yang membanggakan, pemain industri langsung tidak berkompromi dengan kualiti barangan yang ditawarkan dalam inisiatif ini.

“Apabila sudah sampai ke tahap ini, pada masa akan datang, lebih banyak lagi libat urus akan dilakukan bersama industri tekstil ini supaya mereka boleh menawarkan pakej penting.

“Antaranya, baju sekolah, pakej perkahwinan dan pertunangan, yang mana akan ada Pakej Rahmah yang ditawarkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jualan Rahmah Baju Raya Jakel di Wisma Jakel, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Fuziah Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Salahuddin berkata, beberapa syarikat tekstil lain juga akan menyertai inisiatif Payung Rahmah, termasuk daripada perindustrian mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sementara itu, Mohamed Faroz berkata, Jualan Rahmah, yang menawarkan potongan harga tambahan antara 10 peratus ke 20 peratus bagi barangan yang sudah diberikan diskaun. bermula hari ini sehingga 30 Syawal, di 23 cawangan Jakel seluruh negara.

Antara yang menarik adalah tawaran satu juta baju Melayu, masing-masing bagi koleksi Aaron Aziz dan Nabil Ahmad, yang dijual dengan harga lebih rendah, iaitu RM149 berbanding harga diskaun RM259 sebelum ini.

Kurta pula ditawarkan pada harga RM49 berbanding harga diskaun RM79, selain pembelian tambahan bagi samping pada harga antara RM39 dan RM49.

“Jakel mahu memberi peluang kepada rakyat untuk membeli pakaian raya dengan harga mampu milik.

“Kita faham dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan selepas berbincang dengan kementerian, kita memutuskan untuk menyertai inisiatif Payung Rahmah ini,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan, cawangan Jakel yang baharu di Shah Alam akan dibuka pada Jumaat ini, bagi menggantikan bangunan lama yang terbakar, awal tahun ini.

Baca:

Siapa kata hanya Melayu dengki bila berniaga, rupanya di China siap tabur racun lagi

Minum terlalu cepat pun boleh mati, rupanya ibu dua anak ini kena keracunan air

Salahuddin baiknya bukan dibuat-buat, ini sisi Bapa Rahmah yang ramai tidak tahu