KUALA TERENGGANU, 13 Apr – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan di Terengganu sepanjang tahun ini.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan disalurkan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat melalui inisiatif penjanaan pendapatan serta pembaikan kediaman golongan memerlukan.
Menurut beliau, pelaksanaan program berkenaan akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi memastikan keberkesanan dan penyampaian bantuan yang lebih tersusun.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra MADANI bersama pelajar tahfiz Terengganu yang berlangsung di Sekolah Menengah Imtiyaz Yayasan Terengganu, di sini hari ini.
Majlis berkenaan menghimpunkan kira-kira 1,500 pelajar, guru serta warga institusi pondok dan tahfiz dari seluruh negeri. Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM1.8 juta bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan di 18 sekolah tahfiz di Terengganu tahun ini.
Pada masa sama, beliau turut menggesa institusi tahfiz dan sekolah pondok di seluruh negara agar menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) supaya tidak ketinggalan dalam arus pendidikan moden.
Selain itu, Perdana Menteri menekankan kepentingan penguasaan pelbagai bahasa dalam kalangan pelajar, termasuk selain Bahasa Melayu dan Bahasa Arab, bagi meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing mereka pada masa hadapan.