RM500 diberikan kepada 750 pengusaha bas dan van sekolah

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Seramai 750 pemandu dan pengusaha van serta bas sekolah akan menerima bantuan sekali beri berjumlah RM500 melalui program MAIWP Prihatin Kasih Asnaf 3.0 membabitkan peruntukan keseluruhan bernilai RM375,000.

Unit Komunikasi Korporat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dalam kenyataan media, berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor sebelum diagihkan kepada penerima terbabit.

“Diharapkan bantuan disalurkan, sedikit sebanyak akan meringankan beban mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac tahun lalu.”

Terdahulu, Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Daud Bakar menyerahkan replika cek kepada Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor, Amali Munif Rahmat sebagai simbolik penyerahan sumbangan.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Pengurus Bahagian Baitulmal, Ahmad Talmizi Yahaya.

Menurut kenyataan itu, pemberian bantuan ini adalah antara inisiatif diumumkan MAIWP bagi membantu mereka yang terjejas pendapatan berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun lalu.

Sejak pelaksanaan PKP dan penutupan sekolah, semakin ramai pengusaha bas dan van sekolah terpaksa menamatkan perkhidmatan kerana tidak lagi mampu beroperasi dan membayar gaji pekerja.

Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
Email NextStepMalaysia: [email protected]