Risau dengar lagu ‘tak boleh’ ini tapi elok pasangan remaja dengar, elak menangis kemudian hari. Risau dengar lagu ‘tak boleh’ ini tapi elok pasangan remaja dengar, elak menangis kemudian hari
Walau nampak lawak tetapi video parodi lagu ‘Tidak Boleh’ yang dikongsikan TikTokers Hady Huv ini bagus didengar oleh mana-mana pasangan remaja yang asyik bercinta.
Menerusi klip yang sudah pun mendapat 119,000 tanda suka dan lebih 8,000 perkongsian hanya selepas sehari dimuatnaik, Hadi bersama seorang lagi rakannya meniru gaya penyanyi asal lagu dari Indonesia itu.
Mengundang rasa lucu warganet apabila di hujung video yang dilatari lagu dendangan Trio Putri GNR itu, lelaki berkenaan menekapkan telinga ke perut Hadi yang memang sudah sedia boroi.
Rupa-rupanya, apabila tiba babak itu ada yang memberitahu di ruang komentar, mereka baru faham maksud sebenar lirik “yang satu itu tidak boleh”.
Mesejnya, jangan melakukan hubungan seks sebelum berkahwin atau ayat mudahnya, berzina kerana dibimbangi nanti mengandung anak luar nikah.
Tambahan pula statistik Kementerian Kesihatan (KKM) tahun lalu menunjukkan lebih 150,000 remaja pernah melakukan hubungan seks sebelum nikah.
Setiap remaja perempuan sejak di bangku sekolah lagi perlu menjaga maruah diri jangan terlalu murah dan tunduk pada hasutan syaitan dengan menyerahkan tubuh.
Berani untuk kata ‘tak boleh’ sekiranya kekasih mengajak untuk melakukan hubungan seks. Usah anda sendiri menambah angka keparahan masalah sosial sedia ada.
Ini memandangkan laporan Tinjauan Kesihatan Remaja 2022 mendedahkan bahawa 33 peratus remaja mula melakukan hubungan seks sebelum berusia 14 tahun.
Lagi menakutkan apabila 11 peratus mempunyai lebih daripada seorang pasangan sekaligus mendedahkan risiko penyakit kelamin yang berbahaya manakala 75 peratus memberitahu ada melakukan hubungan seks ‘baru-baru’ ini.
Dalam masa sama, di pihak lelaki juga harus menghormati maruah di gadis kerana anda sendiri tentu marah sekiranya adik atau kakak anda ‘ditebuk’.
Baik remaja perempuan tidak terkecuali lelaki, selagi di bangku sekolah dengan makan pakai pun mak ayah kena sediakan, eloklah insaf diri beri tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.
Jauhilah zina kerana ia ditegah agama. Banyakkan bersabar dan tahanlah dirimu daripada melakukan hubungan seks sehingga kamu berkahwin nanti.
Jaga kehormatan diri masing-masing dengan melakukan 8 perkara berikut seperti digariskan Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ini:
- Berpuasa sunat
- Menjauhkan diri daripada perkara boleh menimbulkan nafsu berahi
- Mengisi masa lapang dengan perkara bermanfaat
- Berkawan dengan teman soleh
- Melengkapi diri dengan pelajaran baik
- Memiliki rasa takut kepada Allah
- Memelihara mata dari perkara haram
- Menguatkan pengaruh agama dalam diri
Buat remaja dan anak muda, tak bahagia pun malah derita saja hidup masa tua nanti kalau sekarang hidup bertuhankan nafsu, tercicir pelajaran, hanyut bercinta hingga berzina dan buang anak.