Rambut yang gugur memang merimaskan. Apalagi jika helaian rambut itu bersepah di atas lantai dan bilik mandi.
Lagi runsing kalau rambut semakin menipis lantaran terlalu banyak gugur. Apabila usia meningkat, keguguran rambut semakin ketara selain disebabkan faktor genetik.
Apa kata anda cuba kaedah rawatan semulajadi ini di rumah sekiranya dah cuba pelbagai produk:
1. Makanan tambahan
Banyak vitamin dan mineral diperlukan untuk perkembangan dan pertumbuhan rambut yang betul. Kekurangan nutrisi berpotensi menyebabkan keguguran rambut.
Vitamin D boleh membantu mengurangkan simptom keguguran rambut genetik atau telogen effluvium.
Penyelidikan juga telah menemui kaitan antara vitamin D rendah dan alopecia areata, sejenis rambut gugur yang bertompok disebabkan oleh tindak balas autoimun.
Adalah disyorkan bahawa orang yang mengalami keadaan ini menambah vitamin D jika mereka kekurangan.
Beberapa kajian kecil telah menemui terlalu banyak vitamin A atau selenium boleh menyebabkan keguguran rambut, tetapi lebih banyak kajian diperlukan untuk mengukuhkan penemuan itu.
Penyelidik juga terus mengkaji sama ada terdapat apa-apa faedah untuk orang yang mempunyai alopecia areata untuk menambah zat besi atau zink.
2. Urut kulit kepala
Urut kulit kepala boleh membantu merangsang pertumbuhan rambut dengan menggalakkan peredaran dan perubahan gen.
Kajian kecil pada 2016 melibatkan sembilan lelaki jepun yang tidak botak mendapati bahawa urutan kulit kepala selama empat minit setiap hari meningkatkan ketebalan rambut mereka.
Di samping itu, mengurut kulit kepala juga boleh membuat anda lebih relaks.
3. Diet
Diet juga memberi kesan besar kepada keguguran rambut. Diet yang kaya dengan antioksidan boleh membantu melawan tanda-tanda tekanan oksidatif iaitu faktor persekitaran yang merosakkan folikel rambut dan menyumbang kepada keguguran rambut.
Banyak buahan dan sayur-sayuran yang berwarna-warni seperti strawberi, beri biru, kekacang, bayam dan kangkung adalah sumber antioksidan yang hebat.
Manakala gula, lemak yang diproses, pengawet dan alkohol semuanya boleh menyumbang kepada tekanan oksidatif.
4. Minyak pati (essential oil)
Minyak pati adalah ekstrak semula jadi yang dihasilkan oleh tumbuhan. Sesetengah minyak pati mungkin mempunyai sifat yang merangsang pertumbuhan rambut.
Kajian pada 2016 mendapati bahawa minyak lavender boleh merangsang pertumbuhan rambut pada tikus.
Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk melihat sama ada keputusan ini memberi kesan positif kepada manusia untuk merawat rambut gugur.
Minyak pati yang selalu digunakan sesetengah orang untuk pertumbuhan rambut termasuk:
- Pudina
- Bunga raya cina
- Ginseng
- Jatamansi
- Lavender
5. Berhenti merokok
Merokok bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan anda tetapi juga menyebabkan masalah rambut gugur.
Merokok boleh merosakkan sel rambut, menjadikan folikel rambut anda rapuh dan mudah rosak.
Kajian telah mengaitkan merokok dengan peningkatan kadar uban pramatang dan keguguran rambut.
Baca:
‘Harga pergi Tel Aviv balik hari’ – Ayam goreng kunyit di Langkawi boleh cecah RM20!
Jual jajan sampai awal pagi, ‘mak cik’ yang terima kata sinis ini bukan sembarangan