Realtime website trackingweb stats

Resepi Kuih Lopes Gula Melaka, tiada daun pisang pun dijamin menjadi!

Oleh FATIN AQILAH

Kuih Lopes Gula Melaka merupakan sejenis pencuci mulut tradisional yang masih lagi digemari oleh segenap lapisan masyarakat Melayu tanpa mengira umur.

Mempunyai rasa lemak manis, kuih ini diperbuat daripada beras pulut yang dimasak dengan santan

Dan ditambah pewarna hijau lalu dihidang bersama air gula melaka.

Walau bagaimanapun, kebanyakkan orang lebih gemar membeli ataupun menempah kuih ini

Daripada peniaga berbanding cuba untuk menyediakannya sendiri di rumah.

Resepi Kuih Lopes Gula Melaka, tiada daun pisang pun dijamin menjadi!
Oleh yang demikian, berikut kami kongsikan cara mudah membuat Kuih Lopes Gula Melaka berdasarkan hantaran Zura Zul menerusi akaun Facebook, Resepi Pembuka Selera.

Langkah-langkah menyediakan Kuih Lopes:

Bahan-Bahan:

Tiga cawan beras pulut
Dua cawan santan cair
Setengah cawan air
Tiga helai daun pandan
Sedikit garam
Sedikit air kapur (pilihan)
Pewarna hijau
Kelapa parut putih yang digaul sedikit garam
Cara-Cara:

1. Cucikan beras pulut. Kemudian rendamkan selama lebih kurang satu jam bersama pewarna hijau. Boleh tambahkan sedikit air kapur jika mahu.

2. Selepas itu, kisarkan daun pandan dengan setengah cawan air. Jangan lupa tapis hampasnya.

3. Langkah seterusnya, toskan beras pulut dan masukkannya ke dalam loyang. Lalu tuangkan santan, air pandan, dan sedikit garam ke dalamnya. Boleh titiskan pewarna hijau sedikit lagi jika mahu kelihatan lebih menarik.

4. Kemudian bolehlah kukus pulut tersebut selama 40 hingga 50 minit hingga masak.

5. Sekiranya ada daun pisang, boleh kukus pulut separuh masak terlebih dahulu. Lalu bungkuskannya ke dalam daun dan kukus semula sehingga masak.

6. Setelah pulut siap dimasak, biarkan ia sejuk. Selepas itu, boleh dipotong mengikut bentuk dan citarasa anda sebelum digolekkan dalam kelapa parut putih bercampur garam.

Cara dan bahan menyediakan Air Gula Melaka:

Satu setengah ketul gula melaka

Satu cawan air

Tiga helai daun pandan (disimpulkan)

Sedikit garam

1. Masakkan semua bahan sehingga menjadi larutan yang pekat likat. Kemudian tapiskan untuk memastikan tiada ketulan tertinggal.

2. Kuih Lopes anda sudah sedia untuk dihidangkan bersama air gula melaka!

Baca juga: 6 faktor gadis bujang idamkan suami orang – “Isteri kena jaga-jaga!”